UEM Sunrise lancar mural alam semula jadi di pusat bandar KL | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise lancar mural alam semula jadi di pusat bandar KL

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Syarikat pemaju hartanah terkemuka di Malaysia, UEM Sunrise Berhad melancarkan mural bertemakan alam semula jadi di pusat bandar Kuala Lumpur yang dihiasi dengan landskap tempatan berwarna-warni dan kepelbagaian biodiversiti. 

 

Mural berkenaan melambangkan simbol komitmen syarikat terhadap kelestarian pembangunan dan alam sekitar.

 

.

 

Terletak bersebelahan dengan Hotel W di simpang Jalan Ampang dan Jalan P.Ramlee berdekatan dengan KLCC (Kuala Lumpur City Centre), mural tersebut dinamakan sebagai ‘Happy Space at Lot 149’ dan dijangka menambahkan percikan warna untuk memaparkan keindahan alam semula jadi Malaysia dan menjanjikan kelainan berbanding dengan hutan konkrit Kuala Lumpur.

 

Mural tersebut dihasilkan dengan kerjasama pelukis tempatan daripada E&M Services dan Nippon Paint bagi menyokong inisiatif berterusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggabungkan para penggiat seni jalanan tempatan di ibu kota. 

 

.

 

Projek tersebut bermula pada 13 April dan disiapkan pada 31 Mei 2021 yang lalu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, ‘Happy Space at Lot 149’ merupakan komitmen pihaknya terhadap pemuliharaan dengan berusaha untuk mengekalkan lanskap persekitaran dan habitat biodiversiti.

 

"Kami harap lebih ramai orang dapat menikmati mural bertemakan alam semula jadi ini setelah Perintah Kawalan Pergerakan dilonggarkan, dan diharapkan warna-warna ceria ini dapat memupuk keceriaan dan harapan positif yang diperlukan dalam tempoh yang amat mencabar ini. 

 

"Dengan Hari Kemerdekaan yang bakal tiba, kami juga berharap melalui mural tersebut orang ramai terutamanya golongan remaja dapat memupuk rasa penghargaan terhadap alam semula jadi serta bakat pelukis tempatan kita yang telah mewarnai ruang ibu kota Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan.

 

.

 

'Happy Space at Lot 149’ terdiri daripada tujuh buah panel yang panjangnya lebih daripada 150m. 

 

Setiap panel memaparkan gambar lanskap semula jadi dan biodiversiti Malaysia termasuk pemandangan hutan tropika bersama-sama dengan pembangunan utama UEM Sunrise di Kiara Bay Kepong, Aurora di Australia dan perbandaran indah Puteri Harbour di Johor. 

 

Sebanyak 800 liter ‘low Volatile Organic Compounds (VOC)’ dan cat mesra alam ‘Nippon Paint’ bersama 100 liter pengedap dinding berkualiti digunakan bagi projek tersebut.

 

Seramai 30 orang sukarelawan daripada UEM Sunrise juga menyumbangkan masa serta tenaga bagi membantu menghasilkan ‘Happy Space at Lot 149’ bersama-sama para pelukis mural pada 28 April yang lalu. - DagangNews.com