UEM Sunrise lantik CEO akhbar The Star ke Lembaga Pengarah | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise lantik CEO akhbar The Star ke Lembaga Pengarah

Datin Seri Badrunnisa Mohd. Yasin Khan (kiri) dan Alex Yeow Wai Siaw dilantik sebagai anggota lembaga pengarah UEM Sunrise.

 

 


KUALA LUMPUR 21 Jun - UEM Sunrise Berhad melantik Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group Bhd., Alex Yeow Wai Siaw sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif dalam lembaga pengarah syarikat berkuat kuasa hari ini. 

 

Alex mengetuai syarikat akhbar itu sejak Mac 2021.

 

Turut dilantik menganggotai lembaga pengarah ialah Datin Seri Badrunnisa Mohd. Yasin Khan.

 

Dalam kenyataan, syarikat pemaju hartanah itu berkata, Christina Foo dilantik semula sebagai Pengarah Kanan Bebas.

 

Perlantikan itu dibuat berikutan persaraan Tan Sri Dr. Azmil Khalili Khalid, Ungku Suseelawati Ungku Omar dan Datin Teh Ija Mohd. Jalil yang dicapai hari ini dalam mesyuarat agong tahunan ke-13 syarikat.

 

Pengerusi Lembaga Pengarah UEM Sunrise, Datuk Noorazman Abd. Aziz merakamkan penghargaan terhadap kepimpinan, sumbangan dan nasihat mereka bertiga kepada lembaga pengarah selama ini.

 

"Pada masa sama, kami mengalu-alukan Badrunnisa dan Alex menyertai lembaga pengarah dan kami yakin mereka akan berkongsi input yang bernilai dan strategik beserta pengalaman berharga mereka dalam bidang berkaitan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Badrunnisa, 61, memiliki lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang teknologi maklumat dan sumber manusia dalam industri minyak dan gas serta telekomunikasi.

 

Beliau memulakan karier di Shell Malaysia dan berkhidmat selama 25 tahun dan kemudiannya menyertai Telekom Malaysia Berhad sebagai Pengurus Besar, Pembangunan Kepimpinan & Pengurusan Bakat.

 

Kemudiannya beliau menduduki beberapa jawatan di peringkat pengurusan tertinggi termasuk Ketua Pegawai Kumpulan Pembangunan Bakat Axiata dan Ketua Pegawai Kumpulan Pembelajaran Axiata sebelum bersara pada Mac 2020.

 

Sementara itu, Alex, 56, memiliki pelbagai pengalaman profesional dan memegang jawatan pengurusan dalam spektrum industri yang lebih luas. 

 

Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat sebagai perunding di McKinsey & Company dan berpengalaman mengendalikan pelanggan termasuk syarikat milik kerajaan di Malaysia, Indonesia dan Singapura.

 

Beliau kemudiannya menduduki jawatan pengurusan tertinggi termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Tropicana Berhad; Pengarah Bukan Eksekutif Hafary Holdings Limited; Pengarah Urusan dan Pengarah Eksekutif Guocoland (Malaysia) Berhad dan Pengarah Eksekutif Tower Real Estate Investment Trust.  - DagangNews.com