UEM Sunrise lupus tanah 28.9 hektar di Iskandar Puteri pada harga RM145 juta bagi pembinaan pusat data | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise lupus tanah 28.9 hektar di Iskandar Puteri pada harga RM145 juta bagi pembinaan pusat data

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jun - UEM Sunrise Bhd menerusi anak syarikatnya, UEM Land Bhd dan Nusajaya Rise Sdn Bhd menjual dua bidang tanah berstatus pegangan bebas di Iskandar Puteri, Johor kepada sebuah peneraju industri pusat data global pada harga RM144.9 juta.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, perjanjian jual beli itu yang dimeterai itu melibatkan tanah seluas 28.9 hektar di East Ledang, Iskandar Puteri. 

 

Katanya, tanah itu akan dibangunkan untuk pembinaan pusat data dan dijangka menampilkan teknologi termaju.

 

Inisiatif itu secara tidak langsung meletakkan kumpulan itu sebagai teras pertumbuhan infrastruktur digital melalui pengewangan tanah yang strategik.

 

"Menyedari potensi negeri sebagai pasaran pusat data utama Malaysia, cadangan pembangunan itu sejajar dengan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030, bertujuan untuk memperkukuh ekonomi digital negara dalam menerima pakai infrastruktur digital yang teguh," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, berdasarkan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama LOGOS Infrastructure Holdco Pte Ltd. bagi pembangunan kampus pusat data di Gerbang Nusajaya, pelupusan tanah itu mengesahkan dedikasi kumpulan bagi menyokong ekosistem pusat data Johor.

 

"Bank tanah kami yang terletak secara strategik bersebelahan Singapura, akan mendapat manfaat daripada peningkatan pelaburan di Iskandar Puteri, serta kesan limpahan permintaan terhadap ruang kediaman dan komersial kami.

 

"Selepas menilai semula potensi bank tanah kami yang masih ada, strategi pelupusan dan pengewangan ini menetapkan asas bagi kemajuan teknologi, ekonomi dan komuniti yang besar di Johor,” katanya. - DagangNews.com