Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 7 April - Syarikat pemaju hartanah terkemuka, UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) berjaya menyempurnakan majlis ‘topping out’ bagi kediaman servis mewah yang dikenali sebagai Residensi Solaris Parq.
‘Topping out’ merupakan fasa pengkonkritan tapak bumbung dan melambangkan satu lagi pencapaian bagi komponen kediaman dalam fasa pertama rancangan induk pembangunan bercampur Solaris Parq dengan keluasan seluas 18.76 ekar.
Ketua Pegawai Operasi (Wilayah Tengah) UEM Sunrise, Liong Kok Kit berkata, majlis ‘topping out’ Residensi Solaris Parq yang dijayakan pada 5 April baru-baru ini melambangkan komitmen pihaknya menambah nilai kepada kawasan Dutamas.
"Sebagai salah satu pemaju hartanah terkemuka, kami berharap untuk mewujudkan lebih banyak tempat kediaman untuk semua dan pada masa yang sama, mengembangkan kemasyarakatan dengan perniagaan-perniagaan sekitarnya.
"Kami amat berpuas hati dengan usaha berterusan serta tahap pembinaan Residensi Solaris Parq dan kami menantikan persiapannya pada tahun depan," katanya dalam satu kenyataan.
Majlis berkenaan diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah dan diiringi oleh Liong dan Ketua Kumpulan Projek Solaris Parq, Rudy Lim Lai Huat.
Kontraktor utama iaitu HAB Construction Sdn. Bhd. diwakili oleh pengarah-pengarah eksekutif, Haw Beng Wah, Ong Tien Ling dan Wilson Haw Wei Sheng.
Residensi Solaris Parq adalah sebuah kediaman servis mewah pegangan bebas yang merangkumi dua menara yang terdiri daripada 41 tingkat, masing-masing dengan 288 unit.
Residensi Solaris Parq menawarkan lima jenis reka bentuk yang berbeza untuk dipilih dengan keluasan saiz rumah antara 721 kaki persegi dan 2,469 kaki persegi untuk memenuhi para pembeli rumah, yang terdiri daripada penghuni individu sehingga ke keluarga yang bersaiz kecil dan besar.
Dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM755 juta, Residensi Solaris Parq dijangka akan meningkatkan daya tarikan Mont’Kiara dan Dutamas sebagai alamat mewah yang diidamkan dengan ciri reka bentuk menara berkembar gabungan elemen kemewahan, alam semula jadi dan keselesaan.
Kediaman tersebut ditawarkan pada harga permulaan RM948,800 dan dijangka siap menjelang suku kedua 2022.
Dalam pada itu, Residensi Solaris Parq akan menampilkan lebih daripada 30 kemudahan yang canggih untuk dinikmati oleh para penduduk Residensi Solaris Parq di bawah tiga kawasan kemudahan bertema yang akan meningkatkan konsep kemewahan yang diinspirasi oleh alam semula jadi.
Residensi Solaris Parq menandakan fasa pertama pembangunan rancangan induk pegangan bebas yang bersepadu di Solaris Parq serta pembangunan berterusan UEM Sunrise di kawasan Dutamas.
Pembangunan tersebut akan diteruskan dengan fasa kedua yang terdiri daripada ruang komersial dan runcit serta satu lagi komponen kediaman dan sebuah taman terbuka seluas dua ekar.
Bagi fasa kedua atau Plot B Solaris Parq menawarkan empat menara pejabat yang terdiri daripada dua menara suite pejabat berstrata dan dua lagi untuk penjualan blok gabungan akan dibuka untuk tempahan. - DagangNews.com