UEM Sunrise tawar lebih penjimatan dengan HouzKEY | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise tawar lebih penjimatan dengan HouzKEY

UEM Sunrise tawar lebih penjimatan dengan HouzKEY

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Jun - Program HouzKEY yang dijalankan melalui kerjasama syarikat pemaju hartanah, UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) dan Maybank Islamic menawarkan lebih penjimatan kepada pembeli rumah pertama dan kedua.

 

Melalui inisiatif berkenaan, pembeli tidak perlu membuat pembayaran semasa tempoh pembinaan untuk projek-projek yang masih belum selesai pembinaannya sehingga mereka memperolehi kunci kediaman.

 

.

 

Selain menerima ganjaran tambahan daripada UEM Sunrise, para pemilik rumah juga berpeluang menikmati skim pembiayaan 100% pada kadar terendah selama lima tahun pertama dengan hanya perlu membayar deposit selama tiga bulan yang akan dikembalikan, bukannya membayar wang pendahuluan yang tinggi.

 

Dalam pada itu, pemilik rumah akan menikmati pengecualian duti setem dan memorandum pindah milik (MOT) di bawah Kempen Pemilikan Rumah (HOC) oleh kerajaan yang telah dilanjutkan sehingga akhir tahun ini.

 

Sufian Abdullah
Sufian Abdullah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, pihaknya amat memahami kos pendahuluan untuk memiliki kediaman yang menjadi bebanan kepada para pembeli rumah kali pertama.

 

"Dengan kerjasama pihak Maybank Islamic, ianya akan memberikan kemudahan kepada para pelanggan kami untuk menguruskan proses tersebut. 

 

"Kami yakin bahawa inisiatif HouzKEY ini akan membantu lebih ramai pelanggan kami termasuk pemilik rumah kali pertama untuk mencapai impian memiliki rumah yang dibina oleh UEM Sunrise.

 

"Kerjasama ini selaras dengan slogan kami, ‘Menuju Bahagia’ di mana matlamat kami adalah untuk membantu pelanggan kami mencapai kebahagiaan dalam memiliki rumah baru serta pengalaman pembelian rumah yang menggembirakan," katanya dalam satu kenyataan.

 

.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Maybank Real Estate Ventures, Sally Lye berkata, HouzKEY merupakan bukti komitmen pihaknya dalam membantu para pelanggan untuk memiliki rumah impian.

 

"Kami berbesar hati untuk menyatakan sokongan kami kepada UEM Sunrise dalam mengatasi masalah utama kepada bakal pemilik rumah.

 

"Kami yakin bahawa kerjasama ini akan memberikan manfaat kepada lebih ramai pembeli rumah kali pertama dan kedua untuk memiliki rumah impian mereka," katanya lagi. - DagangNews.com