UiTM capai kedudukan 151 di Asia dalam QS World University Rankings: Sustainability 2024 | DagangNews Skip to main content

UiTM capai kedudukan 151 di Asia dalam QS World University Rankings: Sustainability 2024

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Dis - Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya mencapai kedudukan 151 di Asia dalam QS World University Rankings: Sustainability 2024.

 

UiTM berkata, kejayaan melalui penarafan peringkat dunia itu menunjukkan peningkatan sebanyak 11.6% berbanding tahun lepas. 

 

Katanya, universiti itu yang terus menyokong agenda kelestarian, disenaraikan untuk tahun kedua berturut-turut dalam QS World University Rankings: Sustainability 2024.

 

"Sebanyak 1,403 buah institusi di seluruh dunia telah disenaraikan, berbanding 700 institusi pada tahun sebelumnya, dengan 26 buah institusi dari Malaysia dan 478 secara kolektif dari Asia.

 

"Pengukuran indikator bagi tahun 2024 mengalami beberapa perubahan yang ketara terutamanya, dengan kemasukan ‘Tadbir Urus’ sebagai salah satu indikator utama di samping ‘Kesan Alam Sekitar’ dan ‘Kesan Sosial’ yang telah diperkenalkan pada tahun lepas," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, UiTM menyaksikan peningkatan kedudukan bagi indikator ‘Kesan Alam Sekitar’ apabila berjaya mencapai skor yang lebih tinggi daripada skor median berdasarkan taburan markah global. 

 

Katanya, peningkatan skor juga dirakamkan bagi indikator ‘Impak Sosial’ yang diukur melalui lima indikator; Pertukaran Pengetahuan, Kebolehpasaran dan Keberhasilan, Kesaksamaan, Kesihatan dan Kesejahteraan serta Kesan Pendidikan. 

 

 

uitm

 

 

"Malah, kedudukan UiTM bagi indikator Pertukaran Pengetahuan meningkat daripada kedudukan 401 pada tahun lepas kepada 178 pada tahun ini, yang menonjolkan dedikasi universiti ke arah pertukaran ilmu merentas negara dalam memberi impak yang positif kepada masyarakat setempat.

 

"Bagi indikator 'Tadbir Urus' baharu yang diperkenalkan tahun ini, UiTM tersenarai antara 40% institusi teratas di dunia berdasarkan taburan markah global," katanya.

 

Katanya, indikator itu mengukur sama ada institusi mempunyai tadbir urus yang kukuh dalam membenarkan keputusan dibuat secara terbuka, perwakilan pelajar, budaya beretika dan ketelusan kewangan.

 

Secara keseluruhan, UiTM berada di kedudukan 599 daripada 1,403 institusi dan ke-13 daripada 26 institusi yang tersenarai di Malaysia pada tahun ini. 

 

Dengan pengiktirafan itu, UiTM komited untuk memenuhi matlamat asal penubuhannya bagi penghasilan bakat bumiputera profesional yang relevan dengan keperluan setempat dan sejagat. - DagangNews.com