KUALA LUMPUR 9 Feb - Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) memeterai perjanjian kolaborasi bersama Kotak Global Sdn. Bhd. untuk pembangunan usahawan dalam kalangan mahasiswa universiti berkenaan.
Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni UiTM, Prof. Dr. Mohamad Hariri Abdullah berkata, kerjasama itu berteraskan konsep usahawan sosial yang akan membangunkan mahasiswa dan graduan sebagai usahawan profesional dalam bidang keusahawanan.
"Sebagai universiti besar mempunyai jumlah pelajar dan graduan yang ramai di Malaysia, UiTM menyasarkan untuk melahirkan 255 graduan sebagai syarikat pemula dan 450 graduan yang akan terlibat dalam kerjasama ini," katanya selepas memeterai perjanjian kolaborasi itu di Bangunan Canselari UiTM, Shah Alam.
Yang turut hadir Penasihat Kotak Global, Datuk Seri Subahan Kamal.
Katanya, UiTM akan terus memberi sokongan kepada MASMED dalam usaha melahirkan lebih banyak usahawan profesional dalam kalangan mahasiswa dengan bantuan dan kepakaran industri sehingga berjaya mengangkat nama UiTM di persada global. - DagangNews.com