UMediC diunjur raih pendapatan positif didorong margin keuntungan besar, kata Rakuten Trade | DagangNews Skip to main content

UMediC diunjur raih pendapatan positif didorong margin keuntungan besar, kata Rakuten Trade

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Nov - Rakuten Trade Research mengunjurkan UMediC Group Berhad meraih pendapatan positif hasil daripada margin untung kasar besar sebanyak 40% selain harga produk yang lebih muran di pasaran berbanding pesaingnya.

 

Katanya, kumpulan itu juga sedang mengembangkan perniagaan ke dalam segmen peralatan makmal dan bahan habis pakai makmal melalui pengambilalihan Patho Solutions (M) Sdn. Bhd. yang membolehkan mereka terlibat dalam empat daripada lima kategori utama dalam industri perubatan.

 

"Walaupun sumbangan daripada Patho Solutions pada masa ini adalah minimum, kami percaya kumpulan itu akan memanfaatkan margin untung kasarnya yang besar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu berjaya meraih hak hak pengedaran eksklusif bagi dua produk baharu iaitu Klaro, peranti pencahayaan pembedahan yang direka bagi memberikan pencahayaan optimum untuk rongga pembedahan dalam dan menangani had pencahayaan sebelumnya. 

 

Selain itu ialah produk pencegahan daripada Merit, aplikasi dalam radiologi intervensi dan pembedahan kardiovaskular.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga dijangka dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran pelembap praisi siri HydroX dan pengatur jarak penyedut siri AirDroX.

 

Katanya, praisi HydroX adalah lebih murah sekitar 20% daripada produk pesaing import dan kumpulan itu percaya lonjakan permintaan penggantian import untuk memacu kilang baharu kepada penggunaan penuh menjelang suku kedua tahun hadapan.

 

"Kami menganggarkan segmen pembuatan UMediC akan memberikan 33%/23% daripada pertumbuhan pendapatan pada FY24/FY25 sejajar dengan pengembangan yang berterusan.

 

Sebagai sebahagian daripada pengembangannya, kumppulan itu berjaya menyiapkan pembinaan kilang baharunya berkeluasan 21,346 kaki persegi, yang akan menggandakan kapasiti pengeluarannya dengan berkesan.

 

Setelah siap, UMediC akan dapat melancarkan produk baharunya termasuk pelembap praisi dengan sistem penebulan makro (nebuliser) dan air steril bagi beg penyedutan.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 90 sen sesaham. - DagangNews.com