KUALA LUMPUR 18 Mac - UMNO mengulangi pendirian untuk terus mendukung kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam membangunkan semula negara.
Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa berucap di hadapan kira-kira 2,680 perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO hari ini, turut meminta Ismail Sabri yang juga Naib Presiden parti untuk menjaga kerajaan sebaik-baiknya.
“Datuk Seri Ismail jagalah kerajaan elok-elok, kita beri dukungan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita. Insya-Allah saya dan Tok Mat (Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan) dan rakan-rakan lain, kita akan jaga parti.
"Kami akan perkuatkan parti, (manakala) Tok Mail (Ismail Sabri) perkuatkan kerajaan... kerajaan dan parti harus jalan seiring,” katanya dalam ucapan perasmian perhimpunan itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, lapor Bernama.
Katanya selain itu beliau dan seluruh perwakilan UMNO turut merakamkan penghargaan kepada Ismail Sabri di atas pengumuman kebenaran untuk pengeluaran RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). - DagangNews.com