UMW Toyota bekerjasama dengan pengawal selia tangani isu keselamatan model Vios, Rush dan Veloz | DagangNews Skip to main content

UMW Toyota bekerjasama dengan pengawal selia tangani isu keselamatan model Vios, Rush dan Veloz

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Dis - UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) berkata ia sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kawal selia untuk segera dan telus menangani isu keselamatan yang diketengahkan di Daihatsu Motor Co Ltd (DMC) yang menjejas tiga modelnya Vios, Rush dan Veloz.

 

Syarikat itu berkata demikian susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Toyota Motor Corporation (TMC) yang melaporkan ketidaksempurnaan prosedur dalam ujian yang dilaksanakan oleh DMC, yang memberi kesan kepada tiga model Toyota terbabit yang diedarkan UMWT di Malaysia.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Daihatsu akan menghentikan semua penghantaran kenderaan, skandal keselamatan kian meruncing

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Perodua jalankan penilaian terperinci tindakan Daihatsu gantung pengeluaran kereta

 

 

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K. berkata syarikat itu komited untuk mengekalkan piawaian dan kualiti tertinggi dalam kenderaannya.

 

“Jangan bimbang, kami sedang berusaha untuk memastikan kesemua kenderaan kami di Malaysia mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkaitan.

 

"Kami faham betapa pentingnya kepercayaan pelanggan, dan kami berazam untuk memperkukuhkan keyakinan mereka terhadap kami.

 

“Komitmen kami terhadap kepuasan pelanggan sentiasa menjadi fokus utama kami,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Pada 20 Disember, Daihatsu telah mengumumkan bahawa ia akan menghentikan penghantaran semua kenderaannya, selepas siasatan terhadap skandal keselamatan menemui isu pada 64 model, termasuk hampir dua dozen dijual di bawah jenama Toyota.

 

Susulan pengumuman tersebut, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), pada hari yang sama, menyatakan bahawa ia sedang menjalankan penilaian terperinci mengenai kesan laporan ‘penyelewengan prosedur’ DMC dan penggantungan global modelnya, ke atas kenderaan di sini. - DagangNews.com