UMW Toyota jual 108,107 kenderaan 2023, meningkat 7% berbanding 2022 | DagangNews Skip to main content

UMW Toyota jual 108,107 kenderaan 2023, meningkat 7% berbanding 2022

Oleh M. HERMAN HAMID


KUALA LUMPUR 5 Jan - UMW Toyota Motor Sdn Bhd UMW Toyota merekodkan jualan sebanyak 108,107 buah kenderaan sepanjang tahun 2023, meningkat 7% berbanding tempoh sama 2022.

 

Pada 2022, jumlah jualan yang dicatatkan UMW Toyota ialah 101,035 buah kenderaan, kata syarikat itu dalam satu kenyataan media hari ini.

 

UMW Toyota juga memaklumkan jualan kenderaan pada bulan Disember 2023 mencecah 10,402 buah merangkumi 10,079 unit Toyata dan 323 unit Lexus.

 

Presiden UMW Toyota, Datuk Ravindran K. dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada pelanggan Toyota dan Lexus di atas sokongan yang diberikan sepanjang tahun lalu.

 

"Kami terus komited untuk mencapai kecemerlangan dan memupuk inovasi dalam industri automotif sekali gus memastikan tawaran terbaik untuk pemandu dan pihak berkepentingan kami," katanya.

 

Selain jualan, UMW Toyota turut merekodkan 1.342 juta pelanggan perkhidmatan selepas jualan pada 2023 yang memperlihatkan kepuasan pelanggan terhadap penjagaan automotif yang ditawarkan.

 

umwt 2
Toyota Innova Zenix dilancarkan UMW Toyota pada pertengahan tahun lalu.

 

Sementara itu, Ravindran berkata, fokus syarikat pada 2024 adalah untuk memperkenalkan lebih banyak model terutamanya dengan penekanan pada kenderaan elektrik (xEV).

 

"Kami sentiasa utamakan pengekalkan standard dan kualiti tertinggi dalam kenderaan kami, ditambah dengan mengukuhkan kepuasan pelanggan," jelasnya.

 

Menerusi kenyataan itu, UMW Toyota mennjelaskan, Toyota mempunyai komitmen tinggi untuk menyokong hasrat kerajaan Malaysia bagi mencapai pelepasan sifar karbon pada 2050 yang merupakan salah satu matlamat utama dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).- DagangNews.com