Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]
SHAH ALAM 10 Sept. — Untuk meraikan Hari Malaysia, UMW Toyota Motor (UMWT) telah menerbitkan sebuah filem pendek yang memaparkan apa ertinya untuk menjadi warga Malaysia yang sebenar.
Filem berkenaan adalah tentang nilai-nilai murni seperti saling menghormati, tolak ansur dan penerimaan di peringkat peribadi.
Menampilkan dua selebriti Malaysia, Shukri Yahaya dan Shafiq Kyle, penonton boleh mengikuti perjalanan dalam hidup dua rakan rapat ini serta menyelami sendiri fikiran serta emosi mereka ketika hubungan persahabatan diuji.
Emosi yang terkandung agak tegang, membawa penonton untuk turut sama merenung dan menyedari bahawa perbezaan tidak sepatutnya memisahkan kita, tetapi boleh dimanfaatkan untuk mengukuhkan lagi hubungan — sekiranya kita ada rasa hormat, kasih, bertolak ansur dan menerima antara satu sama lain seadanya.
"Kami percaya filem pendek ini mampu menyentuh setiap hati seluruh rakyat Malaysia secara peribadi. Filem ini melambangkan kesabaran dan tolak ansur, dan kami berharap semua kita dapat menzahirkan mesej berkenaan dalam kehidupan serta hubungan keseharian kita bersama," ujar Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.
"Dengan kepelbagaian yang ada di negara ini, yang melibatkan perbezaan unik, UMW Toyota menjadi lebih kuat ketika kami memanfaatkan kelebihan tersebut dan menjadikannya kelebihan kami. FIlem ini berhasrat untuk menunjukkan kekuatan kita bersama sebagai sebuah negara," tambah beliau.
Shukri Yahaya dan Shafiq Kyle, yang mana masing-masing mula terlibat bersama Toyota sejak 2017 dan 2019 merupakan pelumba selebriti Toyota Gazoo Racing. Mereka sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada projek ini dan berbangga dengan pesan yang ingin disampaikan.
Melalui filem pendek ini, UMW Toyota berharap untuk mengingatkan semua rakyat Malaysia bahawa kisah Malaysia adalah dibangunkan daripada jalinan kisah persahabatan ramai individu. Seperti kata-kata yang selalu selalu diucapkan; bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. - DagangNews.com