Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Dis. - Pemergian sosok yang banyak menyumbang jasa dan pengorbanan terutamanya dalam aspek ekonomi kepada pembangunan bangsa Melayu dan umat Islam tiada tolok bandingannya.
Itu belasungkawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejurus menerima berita pemergian tokoh negara, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid semalam.
“Saya amat berdukacita dengan berita pemergian seorang tokoh akademik dan ekonomi yang unggul dan amat disegani, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, yang telah kembali ke rahmatullah petang tadi.
“Saya dan keluarga berkongsi kesedihan seluruh keluarga Allahyarham atas pemergian orang tersayang. Saya berharap mereka semua tabah menghadapi dugaan ini,” tulis Muhyiddin menerusi hantaran status di Facebook rasminya.
Ujar Muhyiddin, Allahyarham adalah anak watan pertama dilantik menjadi Naib Canselor Universiti Malaya (UM) dan memegang jawatan itu paling lama iaitu selama 20 tahun sejak 1968.
Di bawah beliau, Pusat Asasi Sains ditubuhkan yang telah menyaksikan kelahiran ramai doktor, jurutera dan profesional dalam kalangan anak tempatan, kata Muhyiddin lagi.
Allahyarham juga merupakan seorang pakar ekonomi yang banyak menyumbang idea kepada pembangunan agama, bangsa dan negara, termasuk dalam menangani isu kemiskinan di luar bandar.
Baca : Prof Diraja Ungku Aziz meninggal dunia
Jelas Muhyiddin, penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), dua institusi yang dekat dengan orang Melayu merupakan antara jasa besar yang ditinggalkan Allahyarham.
“Negara cukup merasa kehilangan atas pemergian Allahyarham. Bagi pihak kerajaan, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan besar Allahyarham dalam memperjuangkan dan memperkasakan bidang pendidikan, ekonomi dan institusi yang berkaitan dengan orang Melayu dan Islam.
“Jasa dan pengorbanan Allahyarham sudah tentu tiada tolok bandingnya dan saya percaya akan sentiasa dikenang di minda dan hati setiap rakyat Malaysia.
“Sama-samalah kita berdoa semoga roh Allahyarham dirahmati Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Amin,” tambah beliau.
Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 4 petang semalam.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini, kira-kira 10 malam tadi. - DagangNews.com