Unifi tingkatkan kemahiran digital PKS menerusi Reboot 6.0 | DagangNews Skip to main content

Unifi tingkatkan kemahiran digital PKS menerusi Reboot 6.0

DARI kiri atas, Nadia Heng, Pratheep Kumar Arumuham, dan dari kiri bawah, Aiza Azreen Ahmad dan Yusman Ammeran pada webinar Reboot 6.0.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Ogos - unifi komited untuk memperkasa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia menerusi webinar Reboot 6.0 yang memberi tumpuan bagaimana industri itu boleh mempertingkatkan lagi produktiviti, mengurangkan kos operasi dan melonjakkan Pulangan Pelaburan (ROI) pemasaran menerusi automasi perniagaan semasa waktu mencabar.

 

Mengulas mengenai intipati pengisian acara tersebut, Ketua Segmen PKS unifi, Yusman Ammeran berkata, menerusi unifi Business Club (uBC), unifi membantu PKS tempatan dengan melengkapkan mereka menerusi kepakaran dan pengetahuan tepat dalam memastikan pemilik perniagaan sentiasa mendahului pesaing mereka pada zaman digital yang amat berdaya saing.

 

“Ketika PKS berusaha melindungi perniagaan mereka dalam landskap perniagaan yang kian mencabar, kami melengkapkan mereka dengan peralatan yang sesuai bagi membantu mereka menghadapi situasi semasa dan bersedia untuk masa depan.

 

“Ini sejajar dengan peranan unik Telekom Malaysia Berhad (TM) sebagai pemacu Digital Malaysia dan menyokong usaha Kerajaan dalam inisiatif pembinaan negara termasuklah MyDigital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Turut hadir pada webinar berkenaan, Ketua Jualan, Microsoft Dynamics 365, Pratheep Kumar Aurumugam dan Ketua Pegawai Perniagaan Digital, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Aiza Azreen Ahmad yang berkongsi pandangan dan pengetahuan mereka tentang bagaimana PKS boleh memanfaatkan automasi perniagaan untuk masa depan digital.

 

Webinar itu dianjurkan oleh uBC, iaitu komuniti perniagaan sehenti untuk PKS dan dihoskan oleh Nadia Heng.

 

Menerusi sesi yang disiarkan secara langsung, PKS didedahkan dengan automasi perniagaan dan kelebihannya bagi sektor tersebut, arah aliran ekonomi terkini pasca pandemik dan bagaimana mereka boleh menggerakkan perjalanan transformasi digital mereka sendiri.

 

Panel jemputan berkongsi pengalaman mereka dan kes-kes pembelajaran kejayaan pelaksanaan automasi perniagaan, serta potensi cabaran dan penyelesaian yang mungkin akan dihadapi oleh PKS dalam perjalanan mereka dan cara terbaik untuk mendepaninya.

 

Menurut unifi, uBC berperanan sebagai komuniti perniagaan sehenti untuk semua PKS yang ingin mengembangkan perniagaan mereka secara digital.

 

Komuniti ini menyediakan penyelesaian dan sokongan yang praktikal, menghubungkan PKS kepada pelbagai persatuan perniagaan dan agensi-agensi sokongan bagi membolehkan mereka berkembang dan merealisasikan potensi dengan sepenuhnya.

 

Memberi perkhidmatan kepada hampir 400,000 perniagaan PKS dari pelbagai industri dan saiz, unifi turut menawarkan penyelesaian nilai tambah daripada pakar-pakar industri terkemuka menerusi pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan semula.

 

Antara peluang dan program yang ditawarkan kepada PKS adalah siri webinar percuma secara langsung, iaitu Sembang Bisnes dan Reboot. - DagangNews.com