UniKL – JPK teroka usaha sama kebolehpasaran alumni | DagangNews Skip to main content

UniKL – JPK teroka usaha sama kebolehpasaran alumni

KUALA LUMPUR 22 Nov – Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menjalin kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi meneroka satu usaha sama berhubung kebolehpasaran alumni di universiti teknikal itu.

 

Usaha sama itu dijalan menerusi Center for Alumni and Career Services (CACS) dan Centre for Advancement & Continuing Education (ACE) milik UniKL, manakala KSM menerusi Bahagian Pentauliahan, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

 

Timbalan Pengarah CACS, Ts Dr Abdul Hadi Mohamad berkata, usaha sama itu merangkumi perkhidmatan latihan yang berpotensi untuk ditawarkan kepada alumni universiti tersebut di bawah Bahagian Pentauliahan seperti Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

 

Pada masa sama kata beliau, sesi bertukar pandangan tersebut juga bertujuan meneroka prospek UniKL untuk menjadi satu universiti latihan bagi pembangunan kemahiran.

 

“Satu daripada objektif bagi sesi keterlibatan hari ini adalah kami mahu membuka peluang kepada alumni UniKL untuk mengambil bahagian dalam program latihan kemahiran, khususnya di bawah SLDN.

 

‘’Ini bukan sahaja disasarkan untuk mereka yang sedang mencari pekerjaan, tetapi mereka yang berhasrat untuk menukar kerjaya. Oleh itu, kami mahu membantu mereka,’’ kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

 

unikl
Dr Abdul Hadi Mohamad (empat dari kanan) bersama Dr Anura Ismail (empat dari kiri) dan Azrul Hisyam Abdul Rahman serta pegawai lain semasa mesyuarat UniKL dan JPK di kampus universiti itu, baru-baru ini.

 

 

Dr Abdul Hadi berkata, jumlah graduan UniKL bagi tahun ini dijangka mencecah sekitar 4,000 hingga 5,000 orang tetapi dari segi jumlah graduan yang bakal diraikan dalam sesi konvokesyen seterusnya mungkin mencecah hampir 10,000 graduan.

 

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Pentauliahan, JPK, Kementerian Sumber Manusia, Ts. Dr. Aruna Binti Ismail @ Abd Wahab; dan Pengarah CACS, Azrul Hisyam Abdul Rahman.

 

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), kerajaan telah mengenal pasti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai salah satu pemacu perubahan bagi memenuhi permintaan pekerja dalam industri berkaitan.

 

Bagi memperkasa bidang TVET, kerajaan menyediakan RM6.6 bilion untuk melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah kementerian dan agensi-agensi berkaitan.

 

Tumpuan diberikan kepada usaha memenuhi keperluan industri semasa. Sehubungan itu, peruntukan tambahan RM200 juta disediakan untuk program usaha sama dengan industri termasuk SLDN dan program persijilan industri di bawah Belanjawan 2022.

 

Untuk rekod, peratusan kebolehpasaran graduan UniKL telah meningkat kepada 96.1% pada 2020 berbanding tahun sebelumnya iaitu pada kadar 95.26% dan kesemua peratusan ini lebih tinggi daripada paras purata negara iaitu 84.4%. – DagangNews.com