Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 14 Dis - Bintai Kinden Corp. Bhd. memeterai perjanjian bagi meneroka dan menjalankan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek import tenaga oleh Malaysia LNG Sdn. Bhd. di Sarawak.
Ia dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kejuruteraan Bintai Kindenko Sdn. Bhd. (KBK) yang bekerjasama dengan Kejuruteraan Gemilang Jaya Sdn Bhd (KGJ) untuk menjalankan projek tersebut, menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, KBK hari ini menjalin perjanjian usaha sama (JVA) untuk membentuk konsortium 80:20 dengan KGJ untuk membida tender tersebut, yang jika berjaya, akan melaksanakan projek EPCC itu di Tanjung Kidurong, Bintulu, Sarawak.
Usaha sama ini menyasarkan untuk memperoleh projek yang memerlukan pembangunan pencawang voltan tambahan tinggi baharu di Kompleks LNG Petronas (PLC), menghubungkan secara terus kepada pencawang Sarawak Energy Bhd. (SEB) berkapasiti 275kV yang akan menyediakan 90MW tenaga kepada PLC menerusi rangkaian 33kV sedia ada.
Dengan mengurangkan penjanaan tenaga dalaman PLC, 90MW tenaga elektrik akan diperoleh daripada pencawang SEB yang kebanyakannya dijana oleh tenaga hidroelektrik diperbaharui.
Projek ini mendedahkan potensi PLC untuk menggunakan tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam operasinya.
Berhubung perjanjian JVA itu, KBK akan bertanggungjawab terhadap kerja-kerja elektrik dalam projek tersebut manakala KGJ akan melaksanakan kerja-kerja awam di tapak pencawang, struktur bangunan dan juga kerja-kerja mekanikal dan kejuruteraan bangunan (M&E).
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata, sekiranya berjaya, ia menandakan penyertaan sulung syarikat dalam sektor RE.
Katanya, kontrak EPCC menambah pengalaman kumpulan dalam perkhidmatan kejuruteraan elektrik untuk sektor tenaga, termasuk stesen janakuasa dan segmen minyak dan gas.
“Bintai Kinden akan meneroka lebih banyak peluang dalam ruang RE, yang hanya akan menyaksikan pertumbuhan seterusnya apabila rantau ini membangunkan lebih banyak infrastruktur berkaitan RE pada masa hadapan,” katanya. - DagangNews.com