KUALA LUMPUR 2 Mac - G Capital Bhd. menerusi unitnya, Solarcity Malaysia Sdn. Bhd. meraih kontrak bagi penjanaan sistem tenaga solar fotovoltaik (PV) berkapasiti 271 KWp di Selangor dan Kuala Lumpur.
Solarcity merupakan 76% syarikat pegangan G Capital menerima surat anugerah (LOA) bagi projek berkenaan daripada KSK KD Property Sdn. Bhd. dan KCJ Properties Sdn. Bhd.
Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata, Solarcity akan mereka bentuk, membina, memasang, memiliki, menjalankan operasi dan menyelenggara sistem solar PV tersebut.
"Daripada 271 Kwp itu, ia membabitkan sistem solar berkapasiti 181 KWp di premis KSK KD yang terletak di Taman Sains Selangor 1, Sungai Buloh, Selangor.
"Sebanyak 90 KWp pula di premis KCJ Properties di Bangunan KSK, Jalan Yap Ah Shak, Kuala Lumpur," katanya.
KSK KD dan KCJ Properties merupakan anak syarikat KSK Group Bhd., yang merupakan syarikat pegangan pelaburan manakala anak-anak syarikatnya terlibat dalam pelbagai aktiviti utama seperti pembangunan hartanah, insurans am dan teknologi maklumat dan pembangunan perisian.
Menurut G Capital, perjanjian pembelian tenaga akan dilaksanakan antara kedua-dua pihak bagi tempoh selama 25 tahun bermula daripada tarikh operasi komersial.
"Selepas operasi pentauliahan, ia dijangka mencapai tarikh operasi komersial menjelang suku ketiga 2022, dan selepas itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan kumpulan," tambahnya.
Syarikat itu berkata, pemberian LOA itu dijangka tidak memberi kesan material kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022. - DagangNews.com