RHB Investment unjur unit perindustrian, motor Sime Darby di China kekal lemah pada FY24 | DagangNews Skip to main content

RHB Investment unjur unit perindustrian, motor Sime Darby di China kekal lemah pada FY24

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 Feb - Unit perindustrian Sime Darby di China dijangka kekal lemah berikutan masalah makroekonomi negara itu manakala perniagaan motor menyaksikan lebihan kapasiti kenderaan elektrik (EV) yang mungkin menyaksikan perang harga berlarutan lebih lama.

 

RHB Investment Bank berkata, sehubungan itu, anggaran hasil untuk China bagi kedua-dua segmen perindustrian dan motor dikurangkan memandangkan sentimen lemah yang berterusan di sana.

 

"Di Malaysia, kami menjangkakan segmen motor akan mencatatkan hasil yang lebih kukuh, didorong oleh pelancaran kenderaan elektrik (EV) baharu.

 

"Pengambilalihan UMW juga sepatutnya meningkatkan asas pendapatan keseluruhan Sime Darby pada masa hadapan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan pendapatan tahun kewangan 2024 hingga 2026 (FY24-FY26) bertambah sebanyak 17% hingga 22%, terutamanya disebabkan oleh penyatuan UMW.

 

"Kami terus menjangka bahagian perindustrian mencatatkan jumlah yang kukuh, disokong oleh sumbangan penuh daripada Cavpower.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Sime Darby melonjak kepada RM2.29 bilion bagi 2QFY24 selepas lupus Ramsay Sime Darby Health Care

 

"Risiko utama ialah margin yang lebih lemah daripada yang dijangkakan, jualan kereta yang lebih perlahan daripada yang diunjurkan di seluruh pasarannya dan kemerosotan yang lebih lama daripada yang diramal di China," jelasnya.

 

Sementara itu, RHB Investment kekal neutral dalam sinergi selepas pengambilalihan UMW dalam jangka pendek namun ia bakal mengukuhkan kedudukan Sime Darby dalam pasaran kereta tempatan.

 

"Kekal saranan 'Beli' pada harga sasaran (TP) baharu RM3.15 aripada MYR2.85, kenaikan 20%. 1HFY24 sebahagian besarnya memenuhi unjuran setahun penuh kami.

 

"Selepas pengambilalihan UMW, kami percaya Sime Darby kini dinilai rendah," ujarnya.- DagangNews.com