Unit Yinson raih kontrak FPSO Maria Quitéria di Brazil | DagangNews Skip to main content

Unit Yinson raih kontrak FPSO Maria Quitéria di Brazil

FPSO Maria Quitéria merupakan projek kedua Yinson dengan Petrobras dan projek ketiganya di Brazil.

KUALA LUMPUR 8 Feb - Yinson Holdings Bhd, menerusi anak syarikat milik penuhnya, Yinson Production Pte Ltd, Yinson Bergenia Production BV dan Yinson Bergenia Serviços de Operação Ltda, memeterai kontrak dengan Petróleo Brasileiro SA (Petrobras) bagi penyewaan, operasi dan penyenggaraan kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemindahan apungan (FPSO) Maria Quitéria di Brazil.

 

Maria Quitéria yang sebelum ini dikenali sebagai FPSO Integrado Parque das Baleias (IPB) adalah kapal FPSO di North Campos Basin, luar pantai Brazil. 

 

Kontrak itu dimeterai susulan daripada pemberian 2 surat hasrat (LOI) bagi projek tersebut pada 12 November 2021, yang mana anggaran nilai agregat kontrak itu adalah bersamaan dengan ASS$5.2 bilion manakala tempoh kontrak adalah selama 22.5 tahun daripada tarikh penerimaan akhir.

 

FPSO Maria Quitéria merupakan projek kedua Yinson dengan Petrobras dan projek ketiganya di Brazil sejajar dengan rancangan syarikat infrastruktur tenaga dan teknologi global itu untuk berkembang di negara tesebut.

 

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yinson, Lim Chern Yuan berkata, Brazil merupakan pasaran penting bagi kumpulan, dan gembira apabila Petrobras, yang merupakan satu daripada peneraju utama dunia dalam sektor tenaga telah memberi kepercayaan sekali lagi kepada syarikat tersebut dengan kontrak FPSO Maria Quitéria.

 

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Petrobras kerana meletakkan keyakinan mereka kepada kami dan kami berharap untuk terus bersama-sama membina industri tenaga Brazil," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pengeluaran Luar Pantai Yinson, Flemming Grønnegaard berkata, pengalaman yang diperoleh Yinson setakat ini menerusi projek FPSO Anna Nery yang diterima daripada  Petrobras pada  2019, telah terbukti sangat berharga dan yakin, ia akan menjadi tunjang kepada  kejayaan penyediaan FPSO Maria Quitéria.

 

“Apa yang paling penting dalam projek ini adalah aspirasi bersama Yinson dan Petrobras untuk menangani isu iklim dunia. 

 

"Kami berharap dapat melaksanakan reka bentuk pelepasan karbon rendah yang merupakan pertimbangan utama skop reka bentuk FPSO Maria Quitéria dan mula merealisasikan konsep FPSO pelepasan karbon sifar Yinson, yang merupakan komponen penting dalam pelan hala tuju matlamat iklim Yinson,” tambahnya. - DagangNews.com