United Plantations diramal catat peningkatan pendapatan pada 2HFY24 dipacu fasa pengeluaran puncak | DagangNews Skip to main content

United Plantations diramal catat peningkatan pendapatan pada 2HFY24 dipacu fasa pengeluaran puncak

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Julai - Apex Securities meramalkan United Plantation Bhd mencatatkan peningkatan pendapatan ketara pada 2HFY24 dipacu oleh fasa pengeluaran puncak.

 

Katanya, harga minyak sawit mentah (MSM) bagaimanapun dijangka menyusut sedikit kepada RM3,800 bagi setiap tan pada separuh kedua 2024 disebabkan pertambahan invesntori apabila pengeluaran memasuki puncak kitaran.

 

Firma penyelidikan itu berkata, secara keseluruhannya, harga MSM diunjur berada pada purata RM4,000 bagi setiap tan pada tahun ini.

 

"Melangkah ke hadapan, kami beranggapan pelaksanaan mandat biodiesel B-40 di Indonesia pada 2025 boleh menjadi pemangkin baharu dalam memacu peningkatan harga MSM disebabkan tekanan bekalan daripada penggunaan minyak sawit yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih 2QFY24 United Plantations naik 17% kepada RM186 juta

 

Apex Securities berkata, untung bersih teras 1HFY24 kumpulan sebanyak RM271.1 juta adalah dalam jangkaan, 40% daripada ramalan tahun penuh.

 

Katanya, keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) 2QFY24 United Plantations berjumlah RM185.5 juta, meningkat 16.5% dari tahun ke tahun dan 40% dari suku tahun ke suku tahun. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan yang lebih tinggi dicatatkan itu didorong oleh pertumbuhan pengeluaran buah andan segar (BTS) yang kukuh ditambah dengan MSM dan purata harga jualan (ASP) isirung sawit (PK) yang lebih tinggi.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan larangan dan peraturan eksport Kesatuan Eropah (EU), perubahan corak cuaca menjejaskan pengeluaran BTS, percukaian dan larangan eksport di Indonesia mengancam permintaan MSM tempatan, kekurangan tenaga kerja dan peningkatan kos operasi," katanya.

 

Apex Securities mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM 27.21 sesaham.- DagangNews.com