United U-Li diunjur raih manfaat daripada kelemahan nilai ringgit bagi jualan pasaran antarabangsa - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

United U-Li diunjur raih manfaat daripada kelemahan nilai ringgit bagi jualan pasaran antarabangsa - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Nov - United U-Li Corporation Berhad dijangka meraih manfaat besar daripada kelemahan nilai ringgit bagi jualan di pasaran antarabangsa terutamanya Singapura yang menyumbang 20% daripada hasil kumpulan.

 

Kenanga Research berkata, sejak 1 Julai 2023, tukaran mata wang antara ringgit dan dolar Singapura berada pada purata RM3.44 berbanding unjuran setahun penuh pada paras RM3.30.

 

Firma penyelidikan itu menaikkan unjuran untung bersih kumpulan sebanyak 2% bagi FY23 dengan mengandaikan purata tukaran ringgit kepada dolar Singapura pada paras RM3.45 pada separuh kedua 2023.

 

"Kami berpandangan bahawa nilai ringgit akan menjadi lebih baik berbanding dolar Singapura pada FY24.

 

"Bagaimanpun, sekiranya kekal pada paras RM3.45 sepanjang FY24, pendapatan kumpulan itu meningkat sebanyak 4%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kenanga Research juga positif terhadap prospek produk sistem sokongan kabel kumpulan yang dipacu oleh projek infrastruktur awam yang sedang berjalan.

 

Selain itu ia didorong kehadiran projek akan datang termasuk MRT3, Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura, Laluan Rel Pantai Timur dan gelombang projek pusat data

 

Katanya, kumpulan itu mendedahkan bahawa terdapat peningkatan tempahan daripada Sarawak disokong oleh perbelanjaan awam dan pelaburan swasta.

 

"Rancangan pengembangan bagi meluaskan penawaran produknya termasuk saluran keluli GI, saluran PVC, tiang lampu dan rel pengadang berada di landasan yang betul. Ia akan mula melancarkan produk ini menjelang FY25," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM2.18 sesaham. - DagangNews.com