UNIWALL, NSAC jalin kerjasama laksana pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0 | DagangNews Skip to main content

UNIWALL, NSAC jalin kerjasama laksana pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Feb - Uni Wall APS Holdings Berhad (UNIWALL) dan NS Corporation, NS Aero City Sdn. Bhd. (NSAC) memeterai memorandum kerjasama (MoC) mengenai pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) dengan anggaran nilai pelaburan sebanyak RM1 bilion.

 

Di bawah kerjasama itu, NSAC dan Sun Solutino melaksanakan pembangunan tertentu MVV 2.0. 

 

Ini termasuk pembiayaan oleh Sun Solutino bagi pembangunan kawasan pantai, pusat data baharu, ladang solar dan pelaburan tenaga solar lain.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UNIWALL, Siow Hon Yuen berkata, pihaknya gembira dan teruja kerana selangkah lebih dekat untuk menjadikan MVV 2.0 satu realiti. 

 

"Di bawah MVV 2.0, kami membayangkan untuk mewujudkan platform yang makmur, inklusif dan mampan bagi pemain industri melabur di Negeri Sembilan.

 

"Ini akan menjadi peluang baik untuk memanfaatkan kepakaran luas kami dalam sektor pembinaan, manakala Sun Solutino menyediakan sokongan dalam Dana Pelaburan Harta Tanah (REIT), pengurusan pembangunan dan rangkaian antarabangsa. 

 

"Kami yakin dengan gabungan ini dan sokongan daripada pihak kerajaan, kami akan dapat meneruskan agenda kerajaan negeri merangsang ekonomi tempatan dengan menyasarkan pemain industri utama yang mampu memberi impak secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

UNIWALL
Siow Hon Yuen

 

 

MVV 2.0 ialah koridor pertumbuhan ekonomi dimulakan kerajaan Negeri Sembilan, diperuntukkan sebagai salah satu daripada 17 zon pembangunan yang digalakkan dalam Rancangan Fizikal Negara Malaysia. 

 

 

UNIWALL

 

 

Pembangunan keseluruhan dibayangkan menjadi bandar bersepadu seterusnya di Asia Tenggara yang dipacu Perkongsian Awam-Swasta merentasi 153,411 hektar tanah meliputi daerah Seremban dan Port Dickson. - DagangNews.com