KUALA LUMPUR 28 Ogos - MIDF Research menaikkan unjuran pendapatan Petronas Gas Berhad bagi tahun kewangan 2023 dan 2024 (FY23-24) masing-masing pada 2.5% dan 7% selepas mengambil kira prestasi yang semakin baik pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23).
Firma penyelidikan tersebut turut menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM18.79 sesaham daripada RM18.43 dengan mengekalkan saranan ‘beli’.
Ini adalah rentetan keputusan 2QFY23, di mana firma itu berkata pendapatan Petronas Gas bagi separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) adalah dalam jangkaan tahunannya dengan merangkumi 45%.
BACA JUGA: Untung bersih Petronas Gas melonjak 22% kepada RM485.4 juta bagi 2QFY23, isytihar dividen 16 sen sesaham
“Kami optimistik tentang prospek kumpulan, dengan berhati-hati terhadap harga gas yang tidak menentu dan pertukaran mata wang asing, yang akan memberi kesan kepada keputusan Petronas Gas pada FY23.
“Namun begitu, kami menjangkakan bahawa kontrak jangka panjang dan daya tahannya dalam segmen utilitinya dapat menampung kumpulan itu dalam tempoh terdekat hingga pertengahan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut firma tersebut, prestasi Petronas Gas pada FY23 dijangka kekal sihat, berdasarkan kekuatan kontrak yang mempunyai pendapatan stabil dan kecemerlangan operasi yang mampan.
Selain itu, katanya, pendedahan kumpulan kepada turun naik pertukaran mata asing telah dikurangkan melalui penyelesaian awal penuh yang dibuat ke atas liabiliti pajakan untuk unit terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) di terminal pengegasan semula gas asli cecair (LNG), Sg. Udang, Melaka.
“Walaupun persekitaran kos operasi lebih tinggi selepas wabak, kami menjangkakan Petronas Gas akan terus mengekalkan kecemerlangan operasinya pada semua segmen, dengan utiliti dijangka menjadi aliran pendapatan utama pada FY23,” tambahnya.
Mengulas mengenai segmen utiliti kumpulan pada 2QFY23, MIDF Research berkata pendapatannya telah meningkat 35% tahun ke tahun (YoY) kepada RM570.3 juta, disebabkan harga produk lebih tinggi.
“Harga produk untuk wap dan gas industri adalah lebih tinggi sejajar dengan kenaikan harga gas bahan api, yang berdasarkan Harga Rujukan Malaysia (MRP),” katanya.
Pada waktu penulisan, saham Petronas Gas menokok 10 sen atau 0.6% kepada RM17.16 dengan permodalan pasarannya bernilai RM34 bilion. - DagangNews.com