Unjuran pendapatan Supermax bagi FY24-25 dikurangkan 14% selepas prestasi lemah pada 2QFY24 – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Unjuran pendapatan Supermax bagi FY24-25 dikurangkan 14% selepas prestasi lemah pada 2QFY24 – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Feb - RHB Investment mengurangkan unjuran pendapatan Supermax Corp Bhd bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 dan 2025 (FY24-25) sebanyak 14% setiap tahun selepas mencatat prestasi yang lemah pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24).

 

Firma penyelidikan itu berkata unjuran pendapatan tersebut dipotong dengan mengambil kira kenaikan harga yang kurang agresif pada masa akan datang.

 

Oleh itu, ia mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM1.03 sesaham daripada RM1.06 sebelum ini, yang membayangkan nisbah harga kepada nilai buku FY24 1 kali berbanding min sejarah sebelum COVID-19 sebanyak 1.3 kali.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Rugi bersih Supermax susut kepada RM50.3 juta pada 2QFY24 didorong kerugian tukaran mata wang asing yang rendah

 

Meskipun prestasi pengeluar sarung tangan getah itu meleset akibat kekangan logistik kerana krisis Laut Merah dan purata harga jualan (ASP) yang lemah, firma itu kekal yakin terhadap prospek kumpulan itu.

 

RHB Investment berkata, sebahagian besar ASP kekal stabil pada AS$20 setiap 1,000 keping disebabkan oleh penurunan harga bahan mentah pada suku sebelumnya.

 

“Mengorak langkah ke hadapan, kami menjangkakan jumlah jualan Supermax beransur meningkat memandangkan Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) yang dikenakan oleh Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP AS) telah ditarik balik pada 18 September, ditambah dengan dinamik permintaan-bekalan lebih seimbang menjelang separuh kedua tahun ini.

 

“Kami kini menjangkakan ASP akan meningkat pada 3QFY24 disokong peningkatan harga bahan mentah,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

RHB Investment menambah bahawa ia mengekalkan pandangan bahawa permintaan sarung tangan akan terus meningkat pada suku-suku akan datang, apabila tahap inventori pelanggan semakin berkurangan.

 

Berkenaan perbelanjaan operasi pula, firma penyelidikan itu berkata ia adalah lebih rendah tahun ke tahun disebabkan usaha pengurusan kos kumpulan (contohnya penyahtauliahan) dan normalisasi tarif gas asli. 

 

“Bagaimanapun, kami menjangkakan struktur kos meningkat sedikit pada suku-suku berikutnya kerana harga lateks asli adalah 16% lebih tinggi setakat suku tahun ini berbanding 4Q23 memandangkan ia merupakan musim penurunan pengeluaran. 


“Harga gas asli adalah 21% lebih rendah setakat suku tahun ini berikutan permintaan pemanasan yang kurang memberangsangkan (dari Eropah) di tengah-tengah musim sejuk lebih hangat daripada jangkaan,” katanya.

 

Pada pukul 9:39 pagi ini, saham Supermax susut 4 sen atau 4.4% kepada 88 sen, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM2.39 bilion. - DagangNews.com