UNM tekankan peranan dunia akademik untuk tingkatkan piawaian buruh dalam industri perladangan, pembuatan | DagangNews Skip to main content

UNM tekankan peranan dunia akademik untuk tingkatkan piawaian buruh dalam industri perladangan, pembuatan

Dari kiri, Dr Supramaniam Shanmugam; Denis Low; Pen. Prof Dr Karma Tashi Choedron; Supun Sachitra Nigamuni dan Amargit Singh semasa sesi  perbincangan anjuran University of Nottingham Malaysia, baru-baru ini. 

SHAH ALAM 25 Feb – University of Nottingham Malaysia (UNM) menerusi Jabatan Pengajian Politik, Sejarah dan Perhubungan Antarabangsa (PHIR), telah menganjurkan sesi latihan membina kapasiti melibatkan 402 peserta dari 175 organisasi sepanjang tempoh empat bulan lalu untuk meningkatkan keupayaan juruaudit dalaman dan pihak ketiga bagi mengesan dan melaporkan insiden buruh paksa di Malaysia.

 

Usaha ini adalah sebagai tindak balas langsung kepada penurunan taraf Malaysia ke Aras 3 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) Jabatan Negara Amerika Syarikat, dan keperluan mendesak untuk menambah baik persekitaran dan piawaian tenaga buruh di Malaysia.

 

Provos Interim dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) University of Nottingham Malaysia, Profesor Sarah Metcalfe berkata, usaha menangani isu Pemerdagangan Manusia memerlukan pendekatan pelbagai dimensi.

 

''Sesi latihan membina kapasiti kami menunjukkan nilai yang dibawakan oleh dunia akademik untuk meningkatkan tahap piawaian buruh di Malaysia.

 

''Kami terhutang budi kepada Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan UK kerana membiayai usaha kami; dan menghargai kerjasama persatuan industri seperti MARGMA dan agensi-agensi Kerajaan termasuk NSO MAPO, MPOCC, MSPO dan juga syarikat-syarikat perladangan dan pembuatan yang turut serta mengiktiraf isu ini dan keterbukaan mereka untuk turut terlibat ke arah perubahan positif,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 


 

Profesor Sarah Metcalfe
Profesor Sarah Metcalfe

 


Masalah TIP yang paling mendesak ialah buruh paksa dalam industri pembuatan dan kelapa sawit, di mana pekerja asing dieksploitasi dan dipaksa bekerja dalam keadaan yang menjejaskan kebebasan, kesihatan, keselamatan dan menjatuhkan maruah mereka.

 

Antara tanda-tanda buruh paksa ialah penahanan dokumen identiti atau pasport, bayaran yuran pengambilan berlebihan – yang menyebabkan pekerja terikat kerana dibebani hutang, penggantian kontrak dan pembayaran upah rendah dan keadaan kerja kurang baik seperti kerja lebih masa bukan sukarela dan ketiadaan kebebasan bagi pekerja asing untuk berhenti kerja. Lazimnya tiada dasar buruh untuk memaklumkan pekerja tentang hak buruh dalam bahasa yang difahami mereka.

 

Kemelut buruh paksa paling berleluasa di rantau Asia Pasifik, meliputi 62% daripada jumlah kes di seluruh dunia. Isu buruh paksa di Malaysia mencerminkan trend ini.

 

Dengan populasi seramai 32.7 juta orang, Malaysia dianggarkan mempunyai 3.1 juta penduduk bukan warga negara yang bermastautin secara sah di Malaysia pada 2020.


 

UNM
Sesi perbincangan Pemerdagangan Malaysia turut disertai pelbagai pihak secara maya.

 


Menurut perangkaan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) pada 2014, jumlah pekerja asing tidak berdokumen adalah satu setengah kali lebih tinggi daripada pekerja asing berdokumen.

 

Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay, baru-baru ini telah berkongsi di ruang akhbar Malaysia tentang keperluan menangani isu buruh paksa.

 

Semasa berucap di upacara penutup Projek Menambah Baik Pematuhan Audit dan Penyiasatan Wajar Pihak Ketiga Dalam Sektor Pembuatan dan Kelapa Sawit bersama Badan Pensijilan, beliau juga menerima baik hasrat Malaysia untuk menyelesaikan isu buruh paksa.

 

“Terdapat beberapa isu serius yang perlu ditangani Malaysia dalam bidang hak buruh. Saya sangat sukacita melihat tindak balas positif daripada Kerajaan Malaysia dan syarikat-syarikat perniagaan di Malaysia.

 

''Mereka menyedari masalah dan memahami bahawa isu-isu tersebut perlu ditangani. UK bersedia dan sanggup memberikan sokongan kepada Malaysia dalam proses ini. Malah kami berbangga untuk menyokong usaha cemerlang University of Nottingham Malaysia, dengan kerjasama rakan-rakan daripada badan kerajaan, masyarakat madani dan juga rakan industri,” ujarnya.    


 

Charles Hay
                                Charles Hay

 


Sebagai penutup projek, UNM telah menganjurkan sesi perbincangan bersama panel berbilang pihak berkepentingan, yang melibatkan wakil dari MPIC, MPOCC, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Pertubuhan Penghijrahan Antarabangsa (IOM).

 

Panel terdiri daripada Presiden MARGMA, Dr Supramaniam Shanmugam; Pengarah Hal-ehwal Korporat Supermax, Denis Low; Pengurus Besar Control Union Sdn Bhd, Supun Sachitra Nigamuni dan Pengarah Urusan Biz Excellence System, Amargit Singh.

 

Hasil perbincangan menggariskan tindakan lanjut yang perlu diambil untuk meningkatkan kerjasama antara pelbagai pihak berkepentingan bagi menangani masalah buruh paksa di Malaysia.

 

Demi penglibatan optimum peserta industri dalam sesi latihan membina  kapasiti sepanjang empat bulan tersebut, pasukan projek PHIR telah mengumpulkan data penting mengenai kualiti laporan audit buruh paksa dalam industri pembuatan dan kelapa sawit.

 

Ketua Projek daripada Jabatan Pengajian Politik, Sejarah dan Perhubungan Antarabangsa (PHIR) UNM, Penolong Profesor Dr Karma Tashi Choedron berkata, diharap akan ada perubahan operasi yang positif oleh syarikat-syarikat yang turut serta di dalam inisiatif ini.

 

''Usaha menangani isu Pemerdagangan Manusia dan buruh paksa merupakan satu proses dan kami bertekad untuk memainkan peranan kami bagi menyokong kemajuan Malaysia dalam bidang ini. 

 

''Kekuatan sedia ada UNM dalam bidang penyelidikan memberikan sudut pandangan kritikal terhadap isu-isu utama Pemerdagangan Manusia dan membolehkan pihak-pihak yang terlibat dalam industri untuk merumuskan penyelesaian berasaskan data. 

 

''Wawasan kami untuk fasa seterusnya merupakan projek bersama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), sebuah agensi di bawah Bangsa-Bangsa Bersatu, berkaitan pekerjaan wajar yang melibatkan unsur-unsur buruh paksa,” katanya.

 

Seorang peserta inisiatif membina kapasiti tersebut, Denis Low, Pengarah Hal Ehwal Korporat di Supermax Corporation Berhad berkata, "walaupun Supermax telah mengambil dan akan terus mengambil segala langkah bagi memastikan tiada kes buruh paksa atau pencabulan hak pekerja di mana-mana kemudahan pengilangan, kami menyedari impak positif dari sesi latihan ini, yang nyata membuka fikiran kami.”

 

Projek “Enhancement of Manufacturing and Oil Palm Third-Party Audits Compliance and Due Diligence with Certification Bodies”  yang diterajui oleh Jabatan Pengajian PHIR UNM telah diadakan dari 30 Ogos 2021 hingga 28 Februari 2022. 

 

Projek tersebut dibiayai oleh Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan, UK dan disokong oleh Pejabat Strategik Negara Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (NSO MAPO), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Kementerian Sumber Manusia (KSM), Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO), dan Sidang Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO). - DagangNews.com