Untung bersih ACO Group bagi FY22 melonjak sebanyak 148.2% kepada RM7.1 juta bagi FY22 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih ACO Group bagi FY22 melonjak sebanyak 148.2% kepada RM7.1 juta bagi FY22

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 April - Keuntungan bersih ACO Group Berhad bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2022 (FY22) melonjak sebanyak 148.2% kepada RM7.1 juta berbanding RM2.8 juta pada tahun lalu.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, bagi pendapatan tahunan pula, kumpulan itu merekodkan kenaikan 13% kepada RM124.9 juta bagi FY22 berbanding RM110.6 juta pada FY21.

 

Prestasi cemerlang kumpulan itu disumbangkan oleh peningkatan keuntungan daripada syarikat bersekutu, Focus Electrical Malaysia Sdn. Bhd. yang mempunyai operasi di Pantai Timur serta ketiadaan perbelanjaan penyenaraian kira-kira RM2 juta yang dibayar pada FY21.

 

Kumpulan itu juga merekodkan pendapatan suku tahun sebanyak RM33.6 juta lebih rendah berbanding 4QFY21 iaitu RM35.1 juta akibat banjir yang melanda Pantai Timur pada Disember 2021 yang menjejaskan operasi Focus Electrical. 

 

Pengarah Urusan kumpulan, Ir. Tang Pee Tee @ Tan Chang Kim berkata, FY22 memberikan cabaran dengan kumpulan itu memberi tumpuan untuk mendepani ketidaktentuan operasi yang timbul daripada COVID-19 dan gangguan rantaian bekalan global.

 

Beliau berkata, pihaknya berbesar hati apabila kumpulan itu berjaya menghasilkan prestasi yang baik selepas pembukaan semula aktiviti ekonomi terutama dalam sektor hartanah dan pembinaan yang secara tidak langsung meningkatkan permintaan untuk barangan elektrik.

 

"Walaupun berlaku peningkatan harga komoditi global, kami mengekalkan harga jualan sebagai usaha membolehkan pelanggan kami memenuhi perjanjian mereka dan ia secara tidak langsung memberi kesan terhadap keuntungan kasar kami bagi pendapatan suku tahun.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan kesannya tidak lama kerana kami sudah berbincang dengan pelanggan dan pembekal kami bagi mengoptimumkan mekanisme harga bagi memperbaiki pergerakan keuntungan.

 

"Secara keseluruhan ia merupakan tahun yang sangat baik untuk ACO Group dan kami menjangkakan prestasi Focus Electrical akan kembali normal selain terus menyumbang kepada pendapatan kumpulan," katanya. - DagangNews.com