Untung bersih Affin Bank merosot kesan daripada pandemik COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Affin Bank merosot kesan daripada pandemik COVID-19

KUALA LUMPUR 26 Ogos  - Pandemik COVID-19 telah mengakibatkan kerugian susut nilai kredit yang tinggi sebanyak RM170.9 juta kepada Affin Bank Berhad.

Ini sekaligus menyebabkan keuntungan bersih Affin Bank merosot 56.8% kepada RM67.40 juta pada Suku Kedua berakhir 30 Jun lalu daripada RM156.03 juta dalam tempoh sama tahun lepas, dengan perolehan naik 3.02% kepada RM512.96 juta daripada RM497.93 juta.

Dalam laporan kepada Bursa Malaysia, bank itu berkata, bagi separuh pertama tahun ini, keuntungan bersihnya merosot kepada RM190.97 juta daripada RM293.26 juta pada separuh pertama 2019 manakala perolehan naik kepada RM1.14 bilion daripada RM970.44 juta.

"Prestasi lemah itu berikutan kerugian susut nilai kredit yang tinggi sebanyak RM170.9 juta berikutan COVID-19, perbelanjaan overhed yang tinggi sebanyak RM99.7 juta dan pengiktirafan kerugian pengubahsuaian sebanyak RM79.7 juta.

“Kerugian pengubahsuaian berlaku berikutan pengecualian caj faedah semasa moratorium pinjaman dan pembiayaan selama enam bulan untuk sewa beli dan pembiayaan peribadi,” katanya.

Menurutnya, perbelanjaan operasi kumpulan naik sebanyak RM99.7 juta atau 16.2%, didorong oleh kenaikan kos kakitangan yang berkaitan dengan prestasi perdagangan. 

Daripada segi pendapatan faedah bersih, Affin Bank berkata ia berkurangan sebanyak RM44.7 juta atau 11.9% sejajar dengan pengurangan pinjaman kasar, pendahuluan dan pembiayaan sebanyak RM2.6 bilion dan pelaburan kewangan pada nilai saksama melalui pendapatan komprehensif lain (FVOCI) sebanyak RM2.0 bilion, serta pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dalam tempoh tersebut.

Menurut bank itu, pada separuh pertama 2020, jumlah pinjaman kasar, pendahuluan dan pembiayaan kumpulan itu susut 2% kepada RM45.0 bilion, sebahagian besarnya berikutan mengimbangi semula portfolio. - DagangNews.com