KUALA LUMPUR 19 Julai - Untung bersih Ancom Nylex Bhd sebanyak RM81.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 May 2024 (FY24) adalah selaras dengan unjuran AmInvestment Bank Bhd disokong oleh segmen perniagaan bahan kimia pertanian yang kukuh.
Firma penyelidikan itu berkata, margin keuntungan kumpulan itu juga meningkat kepada 5.5% tetapi kadar cukai efektif meningkat kepada 26.8% berbanding 19.8% pada tahun lalu.
Katanya, kadar cukai yang tinggi itu adalah disebabkan keranan ia tidak boleh diketepikan di peringkat anak syarikat.
"Secara keseluruhan, segmen bahan kimia pertanian menunjukkan prestasi kukuh dengan keuntungan serta margin yang lebih baik dan kami mengurangkan kos dengan ketara di peringkat pegangan kumpulan.
"Bagaimanapun, segmen perniagaan lain menunjukkan prestasi kurang baik disebabkan kos operasi yang tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan peningkatan 8.4% bagi untung bersih FY24, mencecah RM81.5 juta mengatasi rekod sebelumnya sebanyak RM75.1 juta pada tahun sebelumnya.
Untung bersih bagi 4QFY24 kumpulan itu meningkat kepada RM18.1 juta dan ia adalah lebih rendah berbanding unjuran firma itu sebanyak 9% dan consensus sebanyak 13%.
Perniagaan kimia pertanian menunjukkan prestasi yang sangat baik dan membantu meningkatkan margin keuntungan sebanyak satu mata peratusan kepada 5.1% tetapi ia diimbangi kadar cukai yang lebih tinggi sebanyak 31.4%.
Firma penyelidikan itu berkata, permintaan dan corak cuaca global semasa adalah kondusif untuk perniagaan kumpulan tetapi mereka kekal berhati-hati terhadap konflik Rusia-Ukraine.
Katanya, kumpulan itu juga bimbang dengan ketindaktentuan perkapalan di Laut Merah kerana ia akan memberi impak besar kepada perdagangan pertanian global serta menimbulkan kerumitan kepada perniagaan.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) lebih tinggi RM1.44 berbanding RM1.28 sesaham," katanya. - DagangNews.com