Untung bersih Bursa Malaysia suku kedua melonjak kepada RM88.97 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Bursa Malaysia suku kedua melonjak kepada RM88.97 juta

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Julai - Bursa Malaysia Berhad merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM88.97 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2021 meningkat 3.2% berbanding RM86.23 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatan bagi tempoh itu juga meningkat kepada RM196.1 juta berbanding tahun sebelumnya, RM179.78 juta.

 

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2021 pula, Bursa Malaysia merekodkan PAT berjumlah RM210.4 juta, meningkat 39.4% berbanding RM151 juta untuk tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan juga meningkat kepada RM428.73 juta berbanding RM330.53 juta.

 

Peningkatan PAT bagi separuh pertama ini didorong oleh pendapatan operasi yang tinggi, berkembang 31% kepada RM420.2 juta berbanding RM320.7 juta bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Perbelanjaan operasi bagi tempoh itu meningkat 14.9% kepada RM146.1 juta berbanding RM127.1 juta tahun lalu berikut kos pengurusan kakitangan yang tinggi dan perbelanjaan bagi tanggungjawab sosial korporat.

 

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, prestasi kewangan bagi separuh pertama tahun ini adalah pencapaian setengah tahun yang tertinggi pernah direkodkan sejak penyenaraiannya pada 2005.

 

Katanya, Bursa Malaysia berada dalam kedudukan yang kukuh untuk berkembang secara mampan dan bertanggungjawab memandangkan ketidaktentuan dalam pasaran sekuriti dan kadar faedah rendah akan terus menarik pelaburan dan perdagangan. 

 

"Sejajar dengan prestasi kukuh ini, membolehkan Bursa Malaysia memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi membantu pihak hospital membeli kelengkapan yang diperlukan bagi merawat pesakit COVID-19.

 

"Ini merupakan tambahan kepada RM3.1 juta yang diperuntukkan di bawah Yayasan Bursa Malaysia bagi membantu komuniti yang terjejas akibat pandemik itu seperti diumumkan 15 Jun lalu," katanya. 

 

Ia menyaksikan pulangan tahunan ekuiti dan pendapatan sesaham masing-masing sebanyak 48% dan 26.0 sen yang membolehkan Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 24.0 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, yang perlu dibayar pada 27 Ogos 2021.

 

Pada separuh pertama 2021, pendapatan daripada dagangan di Securities Market melonjak 41.4% kepada RM266.1 juta berbanding RM188.2 juta bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Prestasi ini didorong oleh nilai purata dagangan harian (ADV) yang tinggi sebanyak RM4.4 bilion untuk dagangan di Securities Market.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, aktiviti dagangan dalam kalangan pelabur runcit kekal kukuh di sebalik ketidaktentuan persekitaran global akibat pandemik COVID-19.

 

Ini secara tidak langsung, katanya, menyumbang secara signifikan kepada prestasi Securities Market.

 

"Bagi menambahbaik kualiti aktiviti dalam pasaran, kami meletakkan kepentingan pendidikan kewangan secara berterusan bagi mengekalkan minat terhadap pasaran. 

 

"Tambahan pula, terdapat pelbagai langkah bantuan dan insentif diperkenalkan bagi membantu penerbit tersenarai di tengah-tengah suasana yang mencabar," katanya.

 

Menurutnya, Bursa Malaysia akan terus meningkatkan platform bagi menyokong pelaburan masyarakat dalam meningkatkan kekayaan mereka dan menguruskan risiko yang tidak menentu. - DagangNews.com