Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 29 Jan. - Keuntungan bersih kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) bagi peruncit perkakas rumah terbesar Malaysia, Mr D.I.Y Group (M) Bhd. (MDGM) diunjur sebanyak 23.7% bagi tempoh tiga tahun sepanjang tahun kewangan 2019 hingga 2022.
CGS-CIMB Research berkata, unjuran itu turut didorong oleh rancangan pengembangan gudang yang agresif melibatkan 22.9% CAGR.
"Kami yakin rancangan pengembangan gudang turut didorong oleh pasaran runcit perkakas rumah yang terus berkembang.
"Mr D.I.Y juga seharusnya mendapat kelebihan dan manfaat melalui rekod prestasi yang kukuh, kedudukan rundingan yang kuat antara pembekal dan pemilik tapak serta data sedia ada mengenai pilihan pelanggan," jelas CGS-CIMB Research.
Mula ditubuhkan pada 2005, Mr D.I.Y mempunyai 688 cawangan di seluruh Malaysia dan Brunei.
Mr D.I.Y turut mengendalikan Mr. TOY iaitu konsep kedai mainan yang berpatutan dengan jumlah 28 kedai pada September 2020.
Selain itu, kedai runcit yang berkonsepkan harga tetap kos rendah iaitu Mr. DOLLAR turut dijalankan dengan pengoperasian empat cawangan hingga September 2020.
Kedua-dua konsep perniagaan baharu itu dimulakan pada Mei 2019 dan Ogos 2020.
CGS-CIMB Research memulakan penilaian terhadap Mr D.I.Y dengan membuat saranan 'tambah' sahamnya bersama harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM3.45.
Mr D.I.Y turut berdepan risiko penurunan sekiranya sekatan pergerakan terus dilanjutkan akibat kes COVID-19, kos operasi yang lebih tinggi dan persaiangan yang semakin meningkat. - DagangNews.com