Untung bersih CSC Steel pada 2QFY24 susut 51.7% kepada RM7.2 juta kesan tekanan harga jualan keluli | DagangNews Skip to main content

Untung bersih CSC Steel pada 2QFY24 susut 51.7% kepada RM7.2 juta kesan tekanan harga jualan keluli

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Untung bersih CSC Steel Holdings Bhd pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) menyusut 51.7% kepada RM7.2 juta berbanding RM14.9 juta pada suku sama pada tahun lalu disebabkan tekanan kepada harga jualan keluli.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku itu juga menyusut kepada RM366 juta berbanding RM373 juta pada 2QFY23.

 

Katanya, penyusutan itu secara langsung disebabkan persaingan sengit daripada produk import berharga rendah selepas duti anti-lambakan tamat. 

 

"Keadaan itu memberikan tekanan kepada harga keluli membawa kepada penurunan kepada keuntungan bersih kumpulan," katanya.

 

Untung bersih bagi tempoh enam bulan pertama 2024 (1HFY24) susut 48% kepada RM15.9 juta berbanding RM30.6 juta, hasil kumpulan bagi tempoh itu juga susut kepada RM763.5 juta berbanding RM778.2 juta pada 1HFY23.

 

Mengulas mengenai suku ketiga 2024, kumpulan itu berkata, prospek permintaan keluli China kekal berhati-hati disebabkan tahap pengeluaran yang tinggi secara berterusan yang memberikan tekanan kepada harga.

 

Katanya, terdapat inisiatif daripada kerajaan China untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan melaksanakan piawaian pelepasan karbon yang lebih ketat dalam sektor keluli dan ia dilihat boleh menyederhanakan pengeluaran berikutan permintaan yang semakin lemah.

 

"Bagi pasaran domestik, industri keluli Malaysia menghadapi cabaran tambahan daripada harga import yang kompetitif dan permintaan yang turun naik.

 

"Bagaimanapun, komitmen berterusan kerajaan terhadap projek infrastruktur utama seperti Transit Aliran Massa, Transit Aliran Ringan Pulau Pinang dan kereta api laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura menawarkan peluang besar untuk sektor pembinaan dan pembekal kelulinya.

 

"CSC Malaysia akan fokus kepada mengguna pakai tenaga boleh diperbaharui (RE), beralih kepada amalan rendah karbon, menerima transformasi digital, melaksanakan langkah kawalan kos, mempromosikan produk mesra alam, mengamalkan perolehan strategik, mengoptimumkan pengurusan inventori dan meningkatkan kecekapan operasi," katanya. - DagangNews.com