Untung bersih DRB-Hicom terus terjejas oleh kerugian Pos Malaysia dalam 2QFY23 – PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Untung bersih DRB-Hicom terus terjejas oleh kerugian Pos Malaysia dalam 2QFY23 – PublicInvest

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Keuntungan bersih DRB-Hicom pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) terus terjejas oleh kerugian sektor pos, iaitu Pos Malaysia, akibat persaingan sengit dan perang harga yang berterusan di kalangan pemain utama e-dagang dan antarabangsa.

 

Walaupun pendapatan kumpulan meningkat 12% tahun ke tahun (YoY) kepada RM3.9 bilion pada 2QFY23, keuntungan bersihnya telah merosot 80.1% tahun ke tahun (YoY) kepada RM33.7 juta pada 2QFY23

 

Public Investment Bank (PublicInvest) berkata keuntungan bersih DRB-Hicom merosot disebabkan terutamanya oleh peningkatan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi (13.9% YoY), perbelanjaan pembiayaan yang lebih tinggi (9.6% YoY) dan ketiadaan keuntungan pelupusan sebanyak RM119.5 juta pada suku yang sama tahun lepas.

 

“Tanpa item tidak berulang, keuntungan bersih teras jatuh sebanyak 32.6% YoY. Ini diburukkan lagi dengan kerugian yang lebih besar daripada sektor pos akibat persaingan sengit dan perang harga yang berterusan dalam kalangan pemain utama e-dagang dan antarabangsa,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini, merujuk kepada kerugian Pos Malaysia.

 

Bagaimanapun, keputusan tersebut adalah dalam anggaran tahun penuh PublicInvest pada 46.8%, dan sedikit di bawah jangkaan konsensus pada 43.7%, justeru unjuran pendapatan dikekalkan.

 

Firma itu berkata ia terus menyukai prospek kumpulan, disokong oleh transformasi dan inisiatif pengurusan kos untuk mengukuhkan kecekapan operasi.

 

Walaupun tempoh cuti cukai jualan dan perkhidmatan (SST) telah tamat dan kadar faedah meningkat, PublicInvest berkata permintaan untuk tawaran kumpulan tersebut kekal sihat disokong oleh pelancaran model baharu, iaitu Proton X90 dan Honda WR-V.

 

Tambahnya, prospek kumpulan juga dijangka turut disokong oleh usaha kumpulan dalam meningkatkan rangkaian produk, selain telah menyasarkan untuk melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertamanya di bawah jenama Smart di Malaysia dengan model baharu - smart #1 pada suku keempat tahun ini.

 

“Kumpulan itu juga komited untuk mengukuhkan kecekapan operasi bagi sektor terasnya yang lain iaitu aeroangkasa dan pertahanan; perbankan; perkhidmatan dan hartanah. Bagi sektor pos, ia kekal di landasan dalam pelan hala tuju transformasinya,” tambahnya.

 

Oleh itu, firma tersebut mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) RM2.10 sesaham.

 

Pada waktu penulisan, saham DRB-Hicom turun 6 sen atau 3.8% kepada RM1.51 dengan permodalan pasaran sebanyak RM2.9 bilion. - DagangNews.com