Untung bersih FM Global Logistics Holdings susut kepada RM9.06 juta bagi 4QFY23 kesan daripada tambang pengangkutan lebih rendah | DagangNews Skip to main content

Untung bersih FM Global Logistics Holdings susut kepada RM9.06 juta bagi 4QFY23 kesan daripada tambang pengangkutan lebih rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Untung bersih FM Global Logistics Holdings Berhad menyusut kepada RM9.06 juta pada suku keempat berakhir 30 Jun 2023 (4QFY23) berbanding RM13.44 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu berkata, hasil kumpulan itu bagi suku itu juga menyusut kepada RM197.44 juta berbanding RM333.80 juta pada suku keempat tahun lalu.

 

"Hasil kumpulan itu menyusut sebanyak RM136.4 juta atau kira-kira 41% pada 4QFY23 berbanding 4QFY22

 

"Berbanding dengan 4QFY22, hasil yang lebih rendah pada 4QFY23 disebabkan terutamanya oleh kadar tambang yang lebih rendah dan aktiviti yang lebih rendah dalam perkhidmatan pengangkutan antarabangsa dan logistik domestik pada suku semasa," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Untung bersih bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) juga menyusut kepada RM47.15 juta berbanding RM49.76 juta tahun lalu dan hasil juga menyusut kepada RM948.36 juta berbanding RM1.15 bilion pada FY22.

 

"Kumpulan itu menjangkakan tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 akan terus menjadi tahun yang mencabar dengan keadaan pasaran kekal tidak menentu.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu menjangka untuk mengekalkan prestasi positifnya dalam tahun kewangan semasa dan berada pada kedudukan yang baik untuk mengambil kesempatan daripada sebarang pemulihan dalam ekonomi global," katanya. - DagangNews.com