Untung bersih Frontken susut kepada RM26.75 juta pada 3QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Frontken susut kepada RM26.75 juta pada 3QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Okt - Untung bersih Frontken Corp Berhad menyusut sebanyak 23% kepada RM26.75 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) berbanding RM34.73 juta pada suku sama tahun lalu kesan daripada cukai yang lebih tinggi dan keuntungan tukaran mata wang asing lebih rendah.

 

Kumpulan itu mencatatkan peningkatan dalam cukai pegangan berjumlah RM5.6 juta pada suku semasa, berbanding RM1.9 juta yang dibayar tahun lepas.

 

Cukai pegangan adalah berkaitan dividen yang diterima kumpulan daripada anak syarikatnya di Taiwan.

 

"Hasil suku tahunan susut  kepada RM133.52 juta daripada RM134.57 juta, disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada anak-anak syarikatnya di Taiwan dan Malaysia di tengah-tengah permintaan yang lebih lemah daripada pelanggan semikonduktornya," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, prestasi suku tahunan yang lebih lemah telah mengheret keuntungan bersihnya untuk sembilan bulan pertama FY23 kepada RM82.24 juta, turun 12% daripada RM93.45 juta setahun lalu, disebabkan hasil yang lebih rendah dan pembayaran cukai yang lebih tinggi.

 

Hasil terkumpul susut 3.47% kepada RM368.67 juta daripada RM381.91 juta, berikutan sumbangan yang lebih rendah daripada anak-anak syarikatnya di Taiwan, Singapura dan Indonesia.

 

Mengenai prospek, Frontken menyatakan bahawa jualan industri semikonduktor global meningkat 1.9% kepada AS$44 bilion (RM209.7 bilion) pada Ogos berbanding Julai, menandakan bulan keenam berturut-turut jualan meningkat pada asas bulan ke bulan, memetik angka daripada Persatuan Industri Semikonduktor.

 

Jualan global bagaimanapun turun 6.8% tahun ke tahun berbanding Ogos 2022, walaupun pada tahap yang lebih rendah sejak Oktober 2022 namun ia memberikan keyakinan untuk momentum berterusan pada bulan-bulan mendatang.

 

“Kami berharap dapat melihat lebih banyak aktiviti di kilang kedua baharu kami di Taiwan. 

 

"Prestasi suku tahun yang lebih baik secara berurutan adalah petanda yang menggalakkan kepada penutupan yang diharapkan kukuh untuk tahun ini,” katanya. - DagangNews.com