Untung bersih Hartalega bagi FY22 melonjak 11.8% kepada RM3.23 bilion | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Hartalega bagi FY22 melonjak 11.8% kepada RM3.23 bilion

KUALA LUMPUR 10 Mei - Keuntungan bersih Hartalega Holdings Berhad untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 melonjak 11.8% kepada RM3.23 bilion berbanding RM2.8 bilion tahun lalu didorong oleh pendapatan yang tinggi.

 

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, pembuat sarung tangan itu berkata, pendapatan bagi FY22 meningkat kepada RM7.89 bilion berbanding RM6.7 bilion pada tahun sebelumnya manakala pendapatan sesaham berada pada paras 94.64 sen berbanding 84.43 sen pada tahun lalu. 

 

Bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022, kumpulan itu mencatatkan kerugian RM189.7 juta berbanding keuntungan RM1.12 bilion pada tahun lalu akibat pengenalan Cukai Makmur.

 

Pendapatan bagi bagi suku itu juga menurun kepada RM968.69 juta daripada RM2.31 bilion tahun lalu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega, Kuan Mun Leong berkata, prestasi itu dicapai berikutan harga jualan purata (ASP) yang kembali normal serta jumlah jualan semakin rendah, di samping kos operasi lebih tinggi.

 

"Syarikat menjangkakan prospek tetap cerah bagi tahun kewangan 2023 meskipun negara bakal memasuki fasa endemik.

 

"Bagi sektor sarung tangan, ASP semasa dilihat mencapai tahap terendah dan pembukaan sempadan antarabangsa dan pelonggaran sekatan perjalanan dijangka meredakan masalah kekurangan pekerja, seterusnya membawa manfaat kepada Hartalega," katanya.

 

Mun Leong berkata, bagi memenuhi pertumbuhan permintaan, kumpulan terus meningkatkan kapasiti menerusi Kompleks Pengilangan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC).

 

"Proses peluasan NGC 1.5 kini sedang berjalan lancar dan kami menetapkan sasaran untuk beransur-ansur membuka barisan pengeluaran pertama pada suku keempat 2022," katanya.

 

Beliau berkata, Hartalega terus berdepan tekanan luaran, termasuk konflik Rusia-Ukraine yang masih berlarutan dan perintah kawalan pergerakan di beberapa bandar raya utama di China ekoran penularan kes COVID-19.

 

Katanya, ini bakal menjejaskan lagi rantaian bekalan global yang sudah pun menghadapi kekangan ketara di samping mencetus kenaikan harga komoditi dan bahan mentah global.

 

"Pelaksanaan dasar gaji minimum baru-baru ini di Malaysia dijangka mengakibatkan kos operasi lebih tinggi dalam sektor pembuatan," katanya. - DagangNews.com