Untung bersih IJM Corp. susut 49% kepada RM33.4 juta pada suku pertama | DagangNews Skip to main content

Untung bersih IJM Corp. susut 49% kepada RM33.4 juta pada suku pertama

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Ogos - IJM Corp. Bhd. merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM33.4 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun 2022, susut 49.2% daripada RM65.7 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat 3.7% kepada RM1.07 bilion daripada RM1.03 bilion, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Segmen pembinaan kumpulan menyaksikan penurunan pendapatan dan keuntungan sebelum cukai (PBT), dengan masing-masing susut 28.9% dan 34.7% disebabkan aktiviti pembinaan yang lebih rendah memandangkan beberapa projek telah disiapkan pada tahun kewangan lalu.

 

Sebaliknya, pendapatan dan PBT bagi segmen pembangunan hartanah masing-masing meningkat 3.9% dan 3.8% ekoran kemajuan kerja yang lebih tinggi bagi projek yang masih berjalan.

 

Untuk segmen pembuatan dan kuari pula, pendapatan dan PBT meningkat ketara pada suku berkenaan, masing-masing sebanyak 52.6% dan 310.1% terutamanya disebabkan penghantaran cerucuk dan konkrit siap campur yang lebih tinggi ditambah dengan margin yang lebih baik daripada perniagaan cerucuk.

 

Sementara itu, pendapatan bagi segmen infrastruktur meningkat 30.4% didorong hasil daripada tol yang lebih tinggi di dalam dan luar negara manakala PBT susut 77.5% terutamanya disebabkan kerugian tukaran asing bersih belum direalisasi sebanyak RM33 juta ke atas pinjaman dalam denominasi dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Mengenai prospek kumpulan, IJM Corp. menjangkakan prestasi yang memuaskan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY22) didorong pemulihan dalam landskap perniagaan di Malaysia.

 

Menurutnya, prestasi segmen pembinaan akan disokong oleh nilai kontraknya sebanyak RM3.94 bilion dan pelancaran projek infrastruktur berskala besar. 

 

Pada masa sama, katanya, segmen pembangunan hartanah juga dijangka merekodkan prestasi yang memuaskan dengan terus menawarkan produk yang sejajar dengan keutamaan pasaran.

 

"Prestasi operasi tol pula telah pulih ke tahap sebelum pandemik dan kumpulan optimis dengan prestasi kewangan yang lebih kukuh untuk tahun kewangan semasa. Sementara itu, prestasi operasi pelabuhan bergantung kepada pemulihan global," katanya. - DagangNews.com