Untung bersih Kronologi Asia bagi 1QFY23 menjunam 45% kepada RM2.21 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Kronologi Asia bagi 1QFY23 menjunam 45% kepada RM2.21 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Jun - Untung bersih Kronologi Asia Berhad untuk 1QFY23 menjunam sebanyak 45% kepada RM2.21 juta bebranding RM4.02 juta bagi tempoh sama tahun lalu akibat kenaikan kos operasi dan cukai yang tinggi.

 

Kumpulan itu dalam satu pemakluman kepada Bursa Malaysia berkata, pendapatan mereka untuk suku tahun itu turun 2.53% kepada RM57.33 juta daripada RM58.82 sebelum ini kesan daripada sekatan ketat yang dialami di China mengakibatkan kelewatan pengeluaran.

 

Pendapatan sesaham mereka menurun kepada 0.31 sen daripada 0.77 sen dan tidak sebarang pengumuman dividen dibuat.

 

Katanya, keputusan bagi awal tahun kebiasaanya lebih perlahan berbanding suku akhir tahun kerana kebanyakan pelanggan akan menggunakan sepenuhnya bajet tahunan pada akhir tahun.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Edmond Tay berkata, kumpulan itu menjangkakan berlakunya gangguan rantaian bekalan bersama-sama isu makroekonomi dan geopolitik yang akan menjurus kepada kenaikan kadar inflasi serta menjejaskan keyakinan perniagaan.

 

"Walaupun berlaku penangguhan projek, kami gembira hasil kumpulan kami pada suku tersebut sebahagian besarnya dapat dikekalkan.

 

"Kunci kira-kira kami yang seimbang dan rizab tunai yang sihat memberikan kami keupayaan untuk meraih lebih banyak peluang pada masa akang datang.

 

"Selaras dengan perkembangan perniagaan semasa, pihak pengurusan akan terus berusaha ke arah mencapai pertumbuhan yang munasabah untuk sepanjang tahun kewangan ini," katanya.

 

Beliau berkata, kekuatan perniagaan perkhidmatan As-A-Service teras kumpulan membolehkan mereka menghadapi ketidaktentuan dalam pasaran.

 

Katanya, ia juga mengubah cara kumpulan dalam menyampaikan tawaran perkhidmatan dan menyokong pelanggan dalam peningkatan bilangan perkhidmatan awan khusus domain. - DagangNews.com