Untung bersih Leon Fuat jatuh 55% kepada RM10.7 juta bagi 1QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Leon Fuat jatuh 55% kepada RM10.7 juta bagi 1QFY23

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mei - Keuntungan bersih Leon Fuat Berhad telah jatuh 55% kepada RM10.7 juta dalam suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) daripada RM23.9 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.

 

Pendapatan kumpulan dalam suku semasa yang berakhir 31 Mac 2023 itu juga menyusut 14.4% kepada RM233.7 juta berbanding RM273 juta sebelumnya.

 

Sementara itu, pendapatan sesaham (EPS) syarikat pengeluar dan peniaga produk keluli itu telah menurun kepada 3.15 sen daripada 7.01 sen.

 

Dalam laporan kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata kemerosotan tersebut disebabkan oleh penurunan pendapatan perdagangan sebanyak 11.7% kepada RM79.4 juta daripada RM90 juta, manakala pemprosesan produk keluli menyusut 15.7% kepada RM154 juta daripada RM182.9 juta.

 

Pada asas segmen, segmen dagangan menyumbang 34% kepada pendapatan bagi 1QFY23 berbanding 33% pada 1QFY22, manakala segmen pemprosesan menyumbang 66% pendapatan dalam suku semasa berbanding 67% tempoh yang sama tahun lalu.

 

Pengarah Eksekutif Leon Fuat, Calvin Ooi Shang How berkata kumpulan kekal berwaspada terhadap prospek namun optimis dapat mencapai keputusan positif untuk baki suku-suku akan datang tahun ini.

 

 

Calvin Ooi Shang How
Calvin Ooi Shang How

 

 

Menurut beliau, cabaran kekal dengan momentum pertumbuhan lebih perlahan dalam ekonomi domestik dan landskap operasi yang mencabar kesan daripada peningkatan kos dan kelemahan ringgit.

 

“Walaupun kami mula melihat pemulihan dalam prestasi kewangan berbanding dalam suku keempat tahun kewangan 2022 (4QFY23), keputusan 1QFY23 telah disokong oleh peningkatan 318.3% dalam keuntungan kasar.

 

“Ini adalah berikutan margin keuntungan kasar meningkat daripada 1.6% dalam 4QFY22 kepada 12.2% untuk 1QFY23, selain inventori yang menurun sebanyak RM3.05 juta seperti direkodkan pada 4QFY23,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Calvin berkata Leon Fuat akan terus mencari pelanggan baharu dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merentasi pelbagai industri.

 

Pada 29 Mei, saham Leon Fuat ditutup pada 49.5 sen, susut 0.5 sen atau 1% dengan modal pasaran sebanyak RM168.8 juta. -DagangNews.com