Inisiatif Sime Darby Plantation bangunkan taman perindustrian hijau dijangka beri pulangan lebih tinggi - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Inisiatif Sime Darby Plantation bangunkan taman perindustrian hijau dijangka beri pulangan lebih tinggi - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mei - Inisiatif Sime Darby Plantation Bhd untuk membangunkan taman perindustrian hijau dijangka memberi pulangan yang lebih tinggi didorong pembinaan ladang solar selain penggunaan semula tanah pertanian yang kurang produktif.

 

RHB Investment berkata, langkah itu adalah sejajar dengan kumpulan untuk mencapai pelepasan sifar bersih.

 

Katanya, inisiatif itu melibatkan pembangunan tanah seluas 267 hektar untuk ladang solar yang berpotensi menjana kira-kira 220MWdc kuasa pada anggaran kos kira-kira RM550 juta.

 

"Butiran lanjut, seperti pegangan saham, kos pembangunan dan nilai pembangunan kasar (GDV) masih belum selesai.

 

"Bidaan untuk projek solar skala besar (LSS) akan ditutup pada Julai 2024 dengan potensi kumpulan tu menang dan memulakan pembinaan tidak lama kemudian.

 

"Ladang solar itu dijangka siap menjelang 2026," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sime Darby Plantation bekerjasama dengan PNB bangunkan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian seluas 404 hektar

 

RHB Investment berkata, pembangunan ladang solar kumpulan tu dijangka memajukan usahanya ke arah mencapai pelepasan sifar bersih, menyasarkan pengurangan 42% dalam pelepasan karbon Skop 1 dan Skop 2 menjelang 2030.

 

Katanya, inisiatif itu adalah sebahagian daripada strategi yang lebih luas untuk menggunakan semula tanah pertanian yang kurang produktif, dengan perbincangan berterusan dengan agensi negeri untuk peluang selanjutnya.

 

"Kumpulan itu juga sedang meneroka perkongsian untuk membangunkan pusat data.

 

"Sime Darby Plantation telah memajak tanah kepada ladang solar pihak ketiga, dengan sebahagian besar kuota untuk kedua-dua LSS4 dan Program Kuasa Hijau Korporat terletak di atas tanahnya," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM4.15 sesaham.- DagangNews.com