Untung bersih Luxchem meningkat kepada RM10.4 juta bagi suku ketiga | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Luxchem meningkat kepada RM10.4 juta bagi suku ketiga

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Okt - Untung bersih Luxchem Corporation Berhad meningkat kepada RM10.4 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) berbanding RM8.5 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, peningkatan untung bersih sebanyak RM1.87 juta itu adalah didokong oleh prestasi cemerlang segmen pembuatan.

 

Luxchem melaporkan pendapatan lebih rendah sebanyak RM165.8 juta bagi 3QFY23 berbanding suku sama berakhir 30 September 2022 sebanyak RM170.6 juta.

 

Hasil kumpulan itu susut sebanyak 3% kepada RM4.77 juta dan hasil yang lemah itu adalah kesan daripada segmen perdagangan.

 

"Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023, kumpulan itu mencatatkan untung bersih RM29.8 juta, susut 39% atau RM19.08 juta berbanding tempoh sama berakhir 30 September 2022 disebabkan segmen perdagangan dan pembuatan," katanya. 

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, prestasi mereka boleh dipengaruhi beberapa cabaran utama seperti tukaran mata wang asing dalam persekitaran faedah yang meningkat.

 

Prospek mereka juga bergantung kepada turun naik harga bahan mentah, permintaan dan situasi bekalan bahan mentah, saingan sengit dan konflik geopolitik global yang berterusan.

 

"Kumpulan akan terus meningkatkan produktiviti dan kecekapannya operasi bagi menghadapi faktor serta cabaran luaran," katanya. - DagangNews.com