Untung bersih Maxis menyusut ke RM325 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Maxis menyusut ke RM325 juta

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Okt. -  Untung bersih bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 Maxis Bhd. (Maxis) berkurang kepada RM325 juta berbanding RM364 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gökhan Ogut berkata, hasil kumpulan bagaimanapun meningkat kepada RM2.26 bilion daripada RM2.21 bilion disumbangkan oleh hasil perkhidmatan yang tinggi sebanyak RM2.03 bilion susulan perniagaan pascabayar dan gentian yang lebih baik.

 

Katanya, hasil perkhidmatan pascabayar bagi suku ketiga 2021 meningkat kepada RM1.03 bilion, tetapi purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU) turun 3.6 peratus tahun ke tahun kepada RM81 daripada RM84 sebulan.

 

"Penurunan ARPU itu disebabkan terutama kesan daripada peningkatan pelanggan yang mengguna pakai Hotlink Pascabayar nilai pertambahan.

 

"Hasil perkhidmatan prabayar turun 4.5 peratus kepada RM685 juta pada suku ketiga 2021 dan ARPU rendah sedikit pada RM39 sebulan daripada RM40 pada suku ketiga 2020," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambah beliau, Maxis akan terus menyokong semua komuniti di Malaysia dengan akses yang lebih besar kepada peranti, penggunaan digital untuk pelajar dan usahawan serta sokongan barisan hadapan yang berterusan dan usaha kemanusiaan. 

 

"Semua inisiatif kami pada suku tersebut didorong oleh tujuan jenama kami dan komitmen kami untuk melabur dalam negara hari ini dan rangkaian untuk pertumbuhan esok, supaya negara sentiasa berada di hadapan," tambahnya. 

 

Mengenai prospek, Maxis berkata pandemik Covid-19 terus menimbulkan kebimbangan dan masih sukar untuk meramalkan dengan pasti kesan berterusan yang akan diberikan terhadap permintaan terhadap perkhidmatan dan penyelesaian yang disediakan oleh kumpulan itu di peringkat tempatan dan antarabangsa. -DagangNews.Com