KUALA LUMPUR 24 Feb - Malayan Banking Bhd. (Maybank) merekodkan keuntungan selepas cukai dan zakat sebanyak RM2.06 bilion bagi suku keempat bersih 31 Disember 2021, meningkat 33.8% daripada RM1.54 bilion bagi tempoh sama 2020.
Bagaimanapun, pendapatan bagi tempoh itu susut kepada RM11.26 bilion berbanding RM12.24 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Pada suku berkenaan, pendapatan faedah bersih kumpulan dan perbankan Islam meningkat 12.7% kepada RM5.02 bilion.
Sementara itu, bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2021 (FY2021), keuntungan selepas cukai dan zakat meningkat 25% kepada RM8.1 bilion berbanding RM6.48 bilion manakala pendapatan susut 9.94% kepada RM45.96 bilion daripada RM51.03 bilion bagi FY2020.
Pendapatan faedah bersih kumpulan dan perbankan Islam meningkat bagi tempoh itu meningkat 13.8% kepada RM19.61 bilion berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Perolehan bersih premium insurans daripada anak syarikat insurans dan takaful menurun sebanyak RM612.1 juta kepada RM8.85 bilion berbanding FY2020.
Pendapatan operasi kumpulan yang lain berjumlah RM4.47 bilion, susut 38.8% daripada RM7.3 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
Penurunan ini terutamanya disebabkan keuntungan bersih yang lebih rendah dalam pendapatan pelaburan sebanyak RM1.42 bilion, kerugian tidak direalisasi mark-to-market atas penilaian semula derivatif sebanyak RM146.8 juta, aset kewangan yang ditetapkan pada pengiktirafan awal pada nilai saksama melalui untung atau rugi (FVTPL ) sebanyak RM764.2 juta dan pelaburan kewangan di FVTPL sebanyak RM235.8 juta bagi FY2021.
Mengenai prospek kumpulan, Maybank menjangkakan prospek yang lebih baik bagi 2022 dipacu pembukaan semula ekonomi secara luas dan mampan, kelonggaran kawalan sempadan dan kadar vaksinasi yang lebih tinggi.
Katanya, kumpulan Maybank kekal komited dalam menyokong pemulihan ekonomi di seluruh pasaran dengan membolehkan akses untuk sokongan kewangan kepada pelanggan bagi mengukuhkan kedudukan kewangan mereka dan memanfaatkan peluang pertumbuhan yang muncul.
"Memandangkan lebih ramai pelanggan mengalami pengurangan tekanan aliran tunai ekoran pemulihan yang berterusan, kumpulan akan terus terlibat secara proaktif dengan pelanggan berdasarkan sasaran untuk melanjutkan sokongan tambahan kepada mereka yang memerlukan dan sebagai sebahagian daripada proses pengurusan kualiti aset kami yang teguh," katanya. - DagangNews.com