Untung bersih Mestron meningkat kepada RM3.57 juta bagi 3QFY23 disokong peningkatan permintaan dalam segmen telekomunikasi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Mestron meningkat kepada RM3.57 juta bagi 3QFY23 disokong peningkatan permintaan dalam segmen telekomunikasi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Nov - Untung bersih Mestron Holdings Berhad meningkat 6.89% kepada RM3.57 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) disokong beberapa faktor utama termasuk penurunan kos bahan mentah seperti plat keluli selain permintaan tiang khusus dalam segmen telekomunikasi.

 

Lonjakan keuntungan itu adalah sejajar dengan peningkatan hasil sebanyak 11.5%, mencecah RM41.44 juta pada 3QFY23 berbanding RM37.16 juta pada 3QFY22. 

 

Peningkatan hasil itu adalah disebabkan daripada peningkatan jualan tiang standard dan khusus bagi segmen telekomunikasi.

 

Kumpulan itu berkata, bagi sembilan bulan pertama FY23 (9MFY23), untung bersih mereka melonjak sebanyak 40.15% tahun ke tahun kepada RM9.41 juta, daripada RM6.72 juta dalam tempoh yang sama setahun lalu.

 

Mereka juga menyaksikan pertumbuhan hasil sebanyak 29.28% kepada RM106.14 juta pada 9MFY23, berbanding RM82.10 juta pada 9MFY22.

 

Pengarah Urusan Mestron, Por Teong Eng, berkata, pihaknya berjaya memanfaatkan dedikasi terhadap kualiti dan inovasi bagi mengekalkan laluan pertumbuhan positif.

 

mestron
Por Teong Eng

 

Katanya, pertumbuhan ketara bagi hasil suku itu hadir daripada tawaran sektor telekomunikasi dan dipacu keberkesanan strategi pasaran mereka.

 

"Ia juga mencerminkan permintaan yang semakin meningkat untuk tiang khusus kami untuk syarikat telekomunikasi di tengah-tengah pelancaran inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Teong Eng berkata, kumpulan itu komited untuk mengharungi cabaran pada FY23 walaupun terdapat ketidaktentuan dalam ekonomi tempatan dan global.

 

Katanya, cabaran itu diburukkan lagi oleh ketidaktentuan dalam pertukaran mata wang asing serta persaingan yang semakin sengit daripada produk berkualiti rendah.

 

"Kumpulan akan menumpukan pada mengekalkan amalan perniagaan yang berhati-hati dan secara aktif mempelbagaikan portfolionya.

 

"Antara bahagian penting dalam strategi kepelbagaiannya termasuk menerokai sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) bagi meluaskan sumber pendapatan dan mewujudkan aliran pendapatan berulang yang lebih stabil, yang bersedia untuk menjadi enjin pertumbuhan kedua syarikat," katanya. - DagangNews.com