Untung bersih MISC dijangka susut 14% ekoran situasi mencabar - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Untung bersih MISC dijangka susut 14% ekoran situasi mencabar - AmInvestment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Untung bersih MISC Bhd. dijangka menyusut 14% kepada RM1.86 bilion bagi tahun kewangan 2021 (FY21) terutama menerusi segmen petroleum dan kejuruteraan berat, ramal AmInvestment Bank Research. 

 

Penganalisisnya, Alex Goh berkata, kerugian itu bagaimanapun sebahagian besarnya diimbangi dengan ketiadaan peruntukan sebanyak RM50 hingga RM60 juta yang diberikan sekali sahaja bagi projek kejuruteraan berat pada suku pertama 2021. 

 

Selain itu, katanya, keuntungan pembinaan secara berterusan menerusi pengeluaran terapung Mero 3 (akan dinamakan semula sebagai Marechal Duque de Caxias) sebanyak AS$2 bilion, penyimpanan dan pemunggahan terapung yang dijadualkan untuk penghantaran pada separuh kedua 2024. 

 

"Sementara menanti pengumuman prestasi kewangan separuh pertama 2021 pada 13 Ogos ini, kami mengekalkan 
sebahagian besar unjuran yang mengambil kira kadar penghantaran petroleum yang perlahan dan kerugian berterusan menerusi segmen kejuruteraan berat," katanya dalam nota kajian hari ini.  

 

Bagi segmen petroleum, kerugian yang mungkin berlaku adalah melalui segmen kapal minyak mentah sangat besar (VLCC), yang kadar spot penghantaran jatuh negatif buat kali pertama pada Jun tahun ini kepada  -AS$122. 

 

Ini disebabkan berlakunya lebihan kapasiti memandangkan eksport minyak dunia masih kekal mendatar dan di bawah paras sebelum pandemik COVID-19 meskipun Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) bersetuju untuk meningkatkan pengeluaran mulai Mei hingga Julai 2021. 

 

Malah, kadar spot penghantaran bagi Suezmax pada Jun juga susut 79% suku ke suku kepada AS$2,505 manakala Aframax jatuh 68% suku ke suku kepada AS$6,222. 

 

Secara purata, kadar spot ini merosot 23% bagi VLCC, Suezmax (47%) dan Aframax (32%) bagi suku kedua 2021. 

 

Namun, menurut Alex, impak negatif kepada pendapatan kumpulan bagi suku kedua ini sebahagian besarnya mungkin diimbangi dengan kadar penghantaran spot-to-term (STT) bagi segmen petroleum dan bahan kimia dengan nisbah 33:67 setakat 31 Mac 2021.    

 

"Dibandingkan dengan keuntungan operasi segmen petroleum bagi suku pertama 2021 sebanyak RM34 juta, kami menjangkakan prestasi suku kedua ini akan berubah kepada rugi.

 

"Segmen ini sebelum ini merekodkan kerugian operasi bagi suku keempat 2020 sebanyak RM78 juta," katanya.  

 

Pada masa sama, kumpulan juga memiliki kepentingan 66.5% dalam Malaysia Marine & Heavy Engineering Holdings (MMHE), yang mana ia merekodkan kerugian bersih sebanyak RM139 juta pada separuh pertama 2021 disebabkan peruntukan kos yang tinggi dalam segmen kejuruteraan berat ekoran sekatan pergerakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

 

"Walaupun MMHE meraih projek platform pemprosesan berpusat Jerun bernilai RM1 bilion di blok SK408W, di luar Sarawak dari SapuraOMV tahun ini, kami jangkakan bahagian kejuruteraan berat akan terus merekodkan kerugian bagi tahun kewangan 2021-2023.

 

"Ini kerana segmen ini telahpun merekodkan kerugian sejak 3 tahun lalu termasuk sebelum bermulanya wabak ini dalam tempoh 2018-2019," jelasnya. 

 

Bagaimanapun, Alex menjangkakan kadar kapal tangki akan bertambah baik memandangkan OPEC+ merancang untuk meningkatkan tahap pengeluaran sehingga 2 juta tong mulai Ogos hingga September 2021. 

 

"Di samping itu, beserta penghantaran akan datang 2 kapal pengangkut gas asli cecair (LNG), 5 kapal pengangkut etana berskala besar (VLEC) dan 2 kapal tangki berkedudukan dinamik (DPST) tahun ini, secara tidak langsung menyokong jangkaan kami bagi pertumbuhan untuk tahun kewangan 2022," jelasnya.

 

AmInvestment Bank Research mengulangi saranan 'beli' bagi saham MISC dengan nilai saksama pada RM8.75. 

 

Setakat 10.30 pagi ini, saham MISC menokok 1 sen kepada RM6.63 dengan 40,100 saham diniagakan. - DagangNews.com