Untung bersih MNRB melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM41.6 juta pada 2QFY24 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih MNRB melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM41.6 juta pada 2QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Nov - Untung bersih MNRB Holdings Berhad (MNRB) bagi suku kedua berakhir 30 September 2023 (2QFY24) melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM41.6 juta berbanding RM13.5 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, peningkatan untung bersih itu disumbangkan kecemerlangan prestasi taja jamin dan pendapatan daripada pelaburan.

 

Katanya, pendapatan yang lebih tinggi adalah disebabkan oleh prestasi taja jamin yang lebih baik bagi perniagaan insurans semula dan takaful am, peningkatan pendapatan pelaburan dan pergerakan nilai saksama pelaburan yang menggalakkan serta hasil syarikat bersekutu yang lebih baik.

 

Hasil suku tahunan juga meningkat kepada RM935.23 juta daripada RM777.13 juta sebelumnya.

 

Bagi tempoh kumulatif enam bulan, MNRB mencatatkan keuntungan bersih RM111.11 juta berbanding kerugian bersih RM9.71 juta setahun lalu, manakala hasil meningkat kepada RM1.8 bilion daripada RM1.53 bilion.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Zaharudin Daud berkata, operasi anak-anak syarikat kumpulan meneruskan momentum positif didorong permulaan tahun kewangan baharu sebelum ini.

 

"Kami terus memberi tumpuan kepada meluaskan jangkauan pasaran kami melalui pelbagai inisiatif strategik termasuk mengembangkan portfolio Perjanjian Khas dan MGA di luar negara perniagaan insurans semula kami.

 

"Pengukuhan kuasa agensi dan perkongsian strategik perniagaan takaful kami serta meningkatkan keupayaan digital kumpulan," katanya.

 

Beliau berkata, pihaknya kekal fokus kepada inisiatif pengembangan dan kepelbagaian dalam perniagaan insurans dan takaful.

 

"Kami juga komited mengukuhkan dengan pelanggan dan rakan kongsi melalui pengalaman pelanggan walaupun berdepan persekitaran luaran yang mencabar," katanya. - DagangNews.com