Untung bersih Pecca meningkat 55.4% kepada RM55 juta pada FY24 didorong kecekapan kos pengeluaran | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Pecca meningkat 55.4% kepada RM55 juta pada FY24 didorong kecekapan kos pengeluaran

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Pengeluar upholsteri automotif, Pecca Group Bhd mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 55.4% kepada RM55 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24) berbanding RM35.4 juta pada tahun sebelumnya didorong kecekapan kos pengeluaran lebih baik.

 

Kumpulan itu berkata, peningkatan itu juga disokong oleh permintaan berterusan terhadap produk serta perkhidmatan mereka.

 

Pada masa sama, Pecca mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 9.5% kepada RM242.2 juta berbanding RM221.3 juta pada FY23

 

"Kedudukan tunai kumpulan juga bertambah baik dengan peningkatan sebanyak 38.2% daripada tahun sebelumnya, meningkat kepada RM153.7 juta pada akhir FY24," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2024 (4QFY24) , kumpulan itu mencatatkan untung bersih sebanyak RM14.6 juta berbanding RM10.1 juta pada tahun lalu disokong peningkatan hasil kepada RM55 juta berbanding RM54.3 juta pada 4QFY23. 

 

"Peningkatan dalam keuntungan ini dicapai melalui kecekapan kos pengeluaran yang lebih baik dan produktiviti yang dipertingkatkan di fasiliti pengeluaran, hasil daripada tumpuan strategik kumpulan dalam mengoptimumkan keberkesanan proses pengeluaran.

 

pecca
Foo Ken Nee

 

"Pendapatan kumpulan bagi suku berkenaan dipacu oleh permintaan untuk sarung tempat duduk kereta, penjahitan dan bekalan sarung aksesori kereta, serta penyediaan perkhidmatan pembalutan dan jahitan," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pecca, Foo Ken Nee berkata, prestasi kukuh itu adalah bukti komitmen kumpulan terhadap pertumbuhan perniagaan yang berterusan dan penciptaan kekayaan pemegang saham. 

 

Beliau berkata, pada FY24 pihaknya meraih manfaat daripada peningkatan ekonomi berskala besar, hasil daripada permintaan yang kukuh terhadap produk mereka serta hubungan baik dengan pelanggan. 

 

pecaa
Teoh Zi Yi

 

"Permintaan terhadap upholsteri automotif berkualiti tinggi di Malaysia terus kekal kuat, dengan industri meramalkan bahawa 2024 akan menjadi tahun kedua terbaik bagi jualan kereta baharu," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif kumpulan, Teoh Zi Yi berkata, pada FY25, pihaknya akan terus berkembang ke pasaran baru melalui empat teras utama dan kejayaan usaha itu amat penting kerana ia akan membuka fasa pertumbuhan seterusnya.

 

Beliau berkata, dengan kedudukan kewangan yang kukuh, pihaknya mempunyai sumber untuk mempercepatkan trajektori pertumbuhan,selain daripada pengembangan organik perniagaan.

 

"Kami juga akan terus mencari peluang penggabungan dan pengambilalihan strategik serta kerjasama sinergi dan kekal komited untuk melabur serta beroperasi dengan mengutamakan pulangan jangka panjang berbanding keuntungan kewangan segera," katanya. - DagangNews.com