Untung bersih Pentamaster naik 17.1% kepada RM23.5 juta bagi 3QFY23 didorong peningkatan hasil segmen rumusan automasi kilang | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Pentamaster naik 17.1% kepada RM23.5 juta bagi 3QFY23 didorong peningkatan hasil segmen rumusan automasi kilang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Nov - Untung bersih Pentamaster Corporation Berhad meningkat 17.1% kepada RM23.5 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) berbanding RM20.0 juta didorong peningkatan dalam segmen perniagaannya, terutamanya segmen rumusan automasi kilang (FAS).

 

Hasil kumpulan itu juga meningkat 16.2% kepada RM180.74 juta daripada RM155.6 juta.

 

Hasil daripada segmen FAS kumpulan mencatatkan pertumbuhan kira-kira 63.2% kepada RM88.3 juta pada 3QFY23 berbanding RM54.1 juta pada 3QFY22.

 

"Segmen itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai lebih tinggi sebanyak RM25.6 juta berbanding RM15.3 juta pada 3QFY22, peningkatan sebanyak 67.9%.

 

"Bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2023, untung bersih kumpulan meningkat 14.7% kepada RM68.43 juta daripada RM59.68 juta setahun lalu.

 

"Hasil meningkat 15.4% kepada RM522.93 juta daripada RM452.96 juta, diperoleh terutamanya daripada segmen peralatan ujian automatik (ATE) dan FAS, yang masing-masing menyumbang kira-kira 68.5% dan 31.5% dalam tempoh tersebut," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Mengulas mengenai prospek masa hadapan, kumpulan itu berkata, segmen industri automotif dijangka menyumbang bahagian tertinggi kepada hasil kumpulan pada tahun ini, mendapat manfaat daripada kekukuhan dan anjakan struktur dalam elektrifikasi automotif global dan e-mobiliti.

 

Sementara itu, momentum pendapatan daripada industri peranti perubatan dijangka kekal dalam memacu segmen FAS ke tahap pertumbuhan perniagaan seterusnya bagi tahun ini.

 

"Dengan fasa satu kilang pembuatan dijangka siap pada akhir tahun ini ditambah dengan tenaga kerja semasa lebih daripada 900, kumpulan itu akan mempergiatkan dan kekal teguh dalam melaksanakan strateginya

 

"Oleh itu, tonggak strategi pertumbuhan kumpulan kekal tertumpu kepada kepelbagaian produk dan segmen serta pengembangan geografi," katanya. - DagangNews.com