Untung bersih Public Bank pada 2QFY24 meningkat 10% kepada RM1.78 bilion | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Public Bank pada 2QFY24 meningkat 10% kepada RM1.78 bilion

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Untung bersih Public Bank Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) meningkat sebanyak 10% kepada RM1.78 bilion berbanding RM1.62 bilion dipacu sumbangan lebih baik daripada pendapatan faedah bersih dan pendapatan bukan faedah.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, hasil bagi suku berkenaan juga meningkat kepada RM6.69 bilion berbanding RM6.26 bilion pada 2QFY23. 

 

Secara kumulatif, Public Bank mencatatkan untung bersih sebanyak RM3.44 bilion pada 1HFY24 dengan hasil RM13.49 bilion, berbanding keuntungan bersih RM3.33 bilion dan hasil RM12.39 bilion pada 1HFY23.

 

Bank itu mengisytiharkan dividen interim sebanyak 10 sen sesaham, mewakili 56.5% daripada keuntungan bersih kumpulan untuk tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2024.

 

Dividen itu akan diagihkan pada 23 September 2024, berdasarkan tarikh kelayakan pada 11 September 2024.

 

Pendapatan faedah dan pembiayaan bersih Public Bank pada 1HFY24 meningkat 3.9% kepada RM5.42 bilion berbanding 1HFY23, dengan margin faedah bersih/margin pembiayaan yang stabil sebanyak 2.2%.

 

Pendapatan bukan faedah kumpulan merekodkan pertumbuhan 5.8% kepada RM1.32 bilion disebabkan pendapatan yang lebih tinggi daripada perniagaan unit amanah dan broker saham.

 

"Public Mutual, anak syarikat milik penuh Public Bank yang menguruskan perniagaan unit amanahnya, kekal sebagai penyumbang penting kepada pendapatan bukan faedah kumpulan itu.

 

"Berbanding tempoh yang sama pada 2023, Public Mutual mencatatkan pertumbuhan sihat sebanyak 10.5% dalam keuntungan sebelum cukai kepada RM428.3 juta pada separuh pertama 2024, menyumbang 9.7% daripada keseluruhan keuntungan sebelum cukai kumpulan," katanya.

 

Public Bank menyaksikan peningkatan 6% dalam portfolio pinjamannya kepada RM411 bilion dengan peningkatan 5.9% dalam pinjaman domestik kepada RM383.7 bilion.

 

Sementara itu, deposit pelanggan, meningkat 5.8% tahun ke tahun kepada RM424.9 bilion, dengan peningkatan 5.3% dalam deposit pelanggan domestik kepada RM395.1 bilion.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek menjangkakan, persekitaran operasi di Malaysia kekal kondusif kepada pertumbuhan sektor perbankan, disokong aktiviti perbelanjaan dan pelaburan swasta yang berdaya saing.

 

Mengulas mengenai prospek bank itu, beliau berkata, mereka akan terus mengukuhkan kecekapannya dalam segmen perbankan runcit sambil mencari peluang baharu dalam kemampanan dan transformasi digital.

 

"Apabila kumpulan bergerak secara proaktif ke hadapan, ia akan terus memastikan asas kukuh dengan kedudukan modal dan kecairan yang sihat, serta kualiti aset yang kukuh untuk melindungi keuntungan dan nilai pemegang kepentingan yang mampan," katanya.- DagangNews.com