Untung bersih Q2 Nestle melonjak 27.5% dipacu jualan domestik | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Q2 Nestle melonjak 27.5% dipacu jualan domestik

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Syarikat makanan dan minuman (F&B), Nestle (Malaysia) Berhad menyaksikan keuntungan bersih kumpulan pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) melonjak 27.5% kepada RM134.53 juta daripada RM105.53 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama, tahun lalu. 

 

Ini selepas kumpulan mencatatkan peningkatan 13.2% dalam hasilnya pada suku tahun semasa kepada RM1.38 bilion yang dipacu oleh pengukuhan jualan domestik, terutamanya daripada perniagaan F&B utama, menurut Nestle dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia. 

 

Bagi tempoh separuh pertama FY21 (1HFY21) yang berakhir 30 Jun lalu, hasil Nestle menokok 6.6% kepada RM2.83 bilion daripada RM2.65 bilion yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu, terutamanya dipacu oleh jualan domestik yang berkembang 7.7%. 

 

Kumpulan mengumumkan dividen interim pada kadar 70 sen sesaham yang akan diagihkan pada 7 Oktober 2021. 

 

“Kumpulan memperkenalkan aliran produk baharu yang agak besar bagi suku tahun berkenaan. Ini termasuk pelancaran rangkaian tanaman Harvest Gourmet ke dalam pasaran runcit dan memperkenalkan versi MILO dan NESCAFÉ tanpa tenusu. 

 

“Keuntungan sebelum cukai dan keuntungan selepas cukai, masing-masing meningkat kepada RM177 juta dan RM134.5 juta pada 2QFY21. Pemulihan ini jika dibandingkan dengan 2QFY20 adalah terutamanya dipacu oleh peningkatan dalam hasil kumpulan, namun dikurangkan oleh harga komoditi yang lebih tinggi serta perbelanjaan pemasaran yang ditingkatkan berbanding tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020. 

 

“Dalam pada itu, perbelanjaan berkaitan COVID-19 kekal tinggi pada 2QFY21, mencerminkan kos program saringan antigen besar-besaran, peralatan perlindungan diri (PPE) dan langkah lain untuk memastikan pencegahan dan pengekangan jangkitan di bangunan,” jelas kumpulan itu.

 

Melangkah ke hadapan, cabaran utama yang dijangka dihadapi oleh Nestle dalam baki tempoh tahun ini adalah impak daripada kos komoditi makanan yang kian meningkat, di mana telah berjaya dikurangkan sepanjang 1HFY21 menerusi dasar lindung nilai kumpulan. 

 

Impak ini akan lebih kelihatan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kata Nestle lanjut. 

 

Bagaimanapun, kumpulan yakin dapat mencatatkan pertumbuhan jualan yang baik dan prestasi kewangan kukuh pada tahun ini. 

 

“Berpaksikan kepada momentum baik, kami kekal fokus untuk memacu landasan positif pada 2HFY21 ketika kami berusaha untuk mencatatkan pertumbuhan mampan pada tahun 2021, di samping menyokong Malaysia ke arah pemulihan,” tambah kumpulan. - DagangNews.com