KUALA LUMPUR 24 Feb – Bintai Kinden Corporation Berhad kekal kukuh dalam landasan untuk kembali pulih di dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 (FY2022) berikutan kejayaannya terus mencatat keuntungan bagi suku ketiga berturut-turut.
Bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2021 (3QFY2022), keuntungan bersih Syarikat melonjak 52.0% kepada RM1.1 juta atau 0.32 sen sesaham daripada RM0.7 juta atau 0.26 sen saham pada suku sama tahun lalu, disokong oleh penambahbaikan berterusan di dalam segmen kejuruteraan mekanikal dan elektriknya (M&E).
Segmen M&E merupakan pemacu pertumbuhan perolehan utama bagi suku tahunan ini, membantu menaikkan keuntungan Syarikat pada 3QFY2022 sebanyak 92.4% tahun atas tahun kepada tahap paling teguhnya dalam tujuh suku tahunan pada RM28.9 juta daripada RM15.0 juta pada 3QFY2021.
Secara kumulatif bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2021 (9MFY2022), pemulihan teguh di dalam segmen M&E membantu proses pemulihan serupa bagi Syarikat.
Keuntungan bersih 9MFY2022 Bintai Kinden adalah sebanyak RM2.6 juta, berbanding kerugian bersih RM3.7 juta pada 9MFY2021. Dalam tempoh tersebut, perolehan meningkat 42.2% kepada RM58.3 juta, daripada RM41.0 juta.
Pada masa yang sama, Syarikat mencatat pendapatan sesaham sebanyak 0.78 sen dalam tempoh sembilan bulan tersebut, berbanding kerugian 0.93 sen sesaham bagi tempoh serupa tahun lalu.
Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata: “Kami gembira dengan kemajuan berterusan di dalam perniagaan teras kami iaitu segmen perniagaan M&E dan prestasi kukuh dalam atur janji konsesi syarikat.
“Pemulihan kukuh kami bagi mencatat keuntungan belum mengambil kira sumbangan tambahan daripada usaha niaga baharu kami Johnson Medical International Sdn Bhd, yang menandakan kepelbagaian yang diambil oleh Bintai Kinden dengan menceburi bidang penjagaan kesihatan, sambil kekal jitu dengan kepakaran kami di dalam M&E,’’ tambah beliau.
Johnson Medical, yang terlibat di dalam pengilangan, pembekalan dan pemasangan sistem sokongan perubatan kritikal di dalam segmen fasiliti penjagaan kesihatan, dijangka memberi pulangan kepada Bintai Kinden pada 4QFY2022, dan seterusnya melonjakkan prestasi Syarikat semasa melangkah ke hadapan.
Pengambilalihan bernilai RM50 juta ke atas Johnson Medical datang dengan jaminan keuntungan bersih sebanyak RM9.1 juta bagi tempoh dua tahun, yang diterjemahkan kepada purata untung bersih sebanyak RM4.55 juta bagi FY2022 dan FY2023.
Menerusi subsidiarinya, Bintai Healthcare Sdn Bhd, Syarikat juga berusaha vaksin COVID-19 dan peralatan penyimpanan di seluruh rantau Asia Tenggara.
“Dengan perluasan ini, kami akan berusaha ke arah menambah baik penawaran kami di dalam M&E dan segmen pengedaran penjagaan kesihatan, sementara berusaha mendapatkan lebih banyak peluang projek berulang bagi memastikan pemulihan dan pertumbuhan mampan bagi pemegang saham kami,’’ tambah beliau.
Bintai Kinden Corporation Berhad mengkhusus di dalam perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrik yang merangkumi elektrik, mekanikal dan pemasangan pembekalan tenaga, pengautomasian bangunan dan pemasangan instrumen, dan penyenggaraan sistem elektrik dan mekanikal.
Syarikat juga membina loji jana kuasa dan garis transmisi, dan membangunkan serta melabur di dalam hartanah. – DagangNews.com